Bugatti Chiron Noire - edisi terhad dengan kemasan gentian karbon, harga menghampiri RM14 juta!

oleh Mohamad Hanif|
Selamat datang kepada sebuah lagi model edisi khas - Bugatti Chiron Noire yang dihasilkan sebagai memperingati jentera klasik Bugatti Type 57 SC Atlantic tahun 1938.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Bugatti Chiron Noire didatangkan dengan kemaskini berbentuk visual dengan hasil kerja badan terdedah yang diperbuat daripada gentian karbon, dan terdapat dua spesifikasi yang ditawarkan kepada para pelanggan yang kaya. 

Chiron Noire Elegance - seperti namanya ia disasarkan kepada keselesaan yang tersendiri, menampilkan panel gentian karbon berkilat, rim aloi unik 'Caractere' angkup brek berwarna hitam dan gril radiator yang membawakan lencana enamel hitam. 

Manakala Chiron Noire Sportive pula lebih memfokuskan kepada prestasi yang lebih sporty di mana hasil kerja badan gentian karbon diberikan kemasan matte, gril radiator yang berlainan, pemakaian splitter hadapan dan rim aloi yang kesemuanya membawakan kemasan matte. 

Empat tip ekzos titanium juga turut dilayangkan dengan kemasan berwarna hitam. 
 


Perbezaan antara keduanya hanyalah bersifat luaran sahaja, manakala di bahagian dalam, kedua-dua model didatangkan dengan kemasan upholsteri hitam, butang fungsi (turut berwarna hitam) dan perehat kepala yang disulam dengan perkataan Noire. 

Secara standard, Chiron Noire Elegance dan Noire Sportive didatangkan dengan enjin 8.0 liter W16 catur-turbo (quad-turbo) menghasilkan 1,476 kuasa kuda dan daya kilas sebesar 1,600 Nm. 

Kuasa tersebut kemudian disalurkan kepada empat roda menerusi transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan, menawarkan pecutan sepantas 2.5 saat dan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik 420 km/j.

Manakala bagi mereka yang memiliki Bugatti Chiron Sport 'standard', anda boleh memilih untuk menaiktaraf spesifikasi kereta mereka kepada Noire dengan harga tambahan  £85,000 (RM461,075).

Harga jualan rasmi Bugatti Chiron Noire ini pula bermula dari £2.56 juta (RM13.89 juta) dan harus diingat, hanya 20 unit sahaja ditawarkan. 

Sebagai makluman, Bugatti Chiron Sport turut ditawarkan di Malaysia pada harga melebihi angka RM12 juta!

Baca: Bugatti Chiron Sport di Malaysia