Brouillard, yang membawa maksud ‘kabus’ dalam bahasa Perancis dinamakan bersempena dengan kuda kesayangan Ettore Bugatti, pengasas jenama ikonik ini. Bukan sebarang kuda, Brouillard adalah haiwan pintar yang mampu membuka pintu kandangnya sendiri melalui mekanisme rekaan Ettore.
Dari situlah datangnya inspirasi utama kereta ini, menggabungkan kuasa, keanggunan dan keperibadian seekor kuda thoroughbred yang menjadi cerminan sempurna kepada falsafah rekaan Ettore sendiri.
Rekaan Brouillard menolak norma konvensional rekaan hypercar moden. Tiada garisan tajam atau rekaan dramatik yang klise. Sebaliknya, permukaannya diolah seperti otot bawah kulit, reflektif, bertenaga dan beremosi.
Pengarah Reka Bentuk Bugatti, Frank Heyl menyifatkan pendekatan ini sebagai interpretasi bentuk seekor kuda yang sedang bersedia untuk memecut, penuh tenaga yang terkawal, namun tetap tampil dengan bermaruah.
Namun, disebalik penampilan yang lembut ini, tersimpan nadi paling berkuasa dalam sejarah Bugatti iaitu enjin W16 dengan empat turbo yang menjana 1,600PS. Ini adalah kemuncak kepada evolusi jurutera Bugatti yang berterusan selama hampir dua dekad.
Dari aspek teknikal, aerodinamik Brouillard adalah simfoni antara fungsi dan seni. Setiap bukaan udara, bentuk spoiler belakang kekal, serta diffuser di bahagian bawah direka untuk memaksimumkan aliran udara, penyejukan dan kestabilan.
Semua ini berlaku secara harmoni tanpa mengorbankan estetika.
Masuk ke dalam kabin, interior Brouillard bukan lagi ruang pemanduan, tetapi galeri peribadi yang diolah dengan penuh ketelitian.
Fabrik tartan buatan Paris, kemasan gentian karbon kehijauan, serta komponen aluminium yang diukir menggunakan mesin CNC semuanya bergabung dalam satu bahasa rekaan yang unik dan halus.
Bumbung kaca panoramik memberi rasa lapang dan terang, seolah-olah berada dalam sebuah katedral moden.
Namun elemen yang paling memukau mungkin terletak pada tombol gear. Ia diukir daripada satu blok aluminium padu dan menempatkan sisipan kaca yang mengandungi arca mini kuda Brouillard itu sendiri sebagai satu penghormatan kepada inspirasi asal kereta ini.
Motif sulaman kuda turut diterapkan di bahagian tempat duduk dan panel pintu, manakala tempat duduk pula dibentuk sepenuhnya mengikut ukuran badan pemilik.
Brouillard tidak ditawarkan untuk dijual. Ia dihasilkan khas untuk seorang kolektor Bugatti yang bukan sahaja meminati kereta, tetapi juga seni dari keluarga Bugatti, termasuk perabot hasil karya Carlo Bugatti dan arca gangsa Rembrandt Bugatti.
Melalui Brouillard, pemilik ini berjaya menggabungkan seluruh warisan seni keluarga Bugatti dalam satu ciptaan moden yang bukan sekadar kereta, tetapi kapsul masa kepada legasi Bugatti yang sebenar.
Apa yang menjadikan Programme Solitaire begitu unik adalah jumlah pengeluarannya yang terhad dimana hanya dua unit akan dihasilkan setiap tahun. Setiap projek akan menggunakan trenkuasa dan casis Bugatti sedia ada, tetapi dengan rekaan badan dan kabin yang direka semula sepenuhnya mengikut visi pelanggan.
Tiada dua unit yang serupa. Tiada cetakan semula. Tiada kompromi.
Bugatti Brouillard bukan sekadar permulaan kepada satu siri hypercar ultra-eksklusif.
Ia adalah bukti bahawa dalam dunia automotif yang serba digital dan efisien, masih ada ruang untuk kehalusan tangan, untuk cerita peribadi, dan untuk karya seni yang bergerak laju di atas jalan raya.
Jika ini baru permulaan Solitaire, apa pula magis yang akan dibawakan selepas ini?