Proses pembangunan melibatkan penyelarasan berterusan antara pasukan reka bentuk, kejuruteraan, dan mutu produksi.
Pembangunan intensif berlangsung dari tahun 2021 hingga 2022. Reka bentuk dimuktamadkan pada tahun 2022, diikuti dengan kejuruteraan yang disiapkan pada awal tahun 2023.
Ujian prototaip membuka fasa baharu apabila Bolide dibawa ke Le Mans pada 2023, sempena ulang tahun ke-100 litar itu.
Dengan grafik perlumbaan yang mengimbau kemenangan Bugatti pada era 1930-an, Andy Wallace berjaya merekodkan 350 km/j di laluan lurus.
Namun pengesahan sebenar terjadi selepas itu apabila Bolide menjalani jadual ujian paling padat dari musim panas 2023 hingga awal 2024.
Jurutera dan juruteknik bekerja dari pagi hingga lewat malam, dengan setiap hari diatur seketat mungkin sehingga masa terhenti dikira dalam minit.
Setiap malam bermula sesi penyelarasan semula, manakala kereta disiapkan sepanjang malam untuk memastikan ia bersedia tepat ketika litar dibuka pada keesokan hari.
Perbincangan dalaman juga menetapkan bahawa prestasi bukan penentu tunggal.
Sebagai Bugatti, ia wajib memiliki kehalusan bentuk, rasa pemanduan dan kemasan yang tinggi.
Cabaran terbesar ialah memastikan kereta ekstrem ini tetap memiliki mutu binaan yang layak menjadi sebahagian daripada koleksi Bugatti, bukan sekadar alat perlumbaan.
Walaupun kereta litar memerlukan komponen yang cepat diganti, sebuah Bugatti perlu dibina untuk bertahan lama, menjadikan kerjasama antara jurutera dan pasukan produksi satu keperluan mutlak.
Daripada keseluruhan perjalanan itu lahirlah Bolide terakhir yang paling sarat nilai simbolik.
Bolide terakhir ini ditempah oleh seorang pengumpul lama yang mempunyai hubungan rapat dengan Bugatti dan inspirasi utamanya datang daripada Type 35 milik beliau.
Warna biru ikonik jentera perlumbaan Bugatti diterjemahkan ke dalam gabungan Black Blue dan Special Blue Lyonnais.
Bahagian dalaman pula dihias Alcantara Lake Blue dengan jahitan Light Blue Sport.
Bendera Perancis di sisi mengekalkan identiti asalnya sebagai penghormatan kepada sejarah perlumbaan Bugatti.
Warna ini sangat istimewa bagi si pemilik.
Warna sama digunakan pada Veyron Grand Sport yang juga merupakan unit terakhir, melengkapkan kesinambungan koleksi peribadi beliau yang dibina sejak sekian lama.
Penyerahan Bolide terakhir di Molsheim berlangsung sebagai sebuah acara peribadi yang meraikan hubungan antara pelanggan dan jenama.
Ia juga menandakan penutup kepada perjalanan pembangunan yang melibatkan ribuan jam kerja jurutera dan pasukan produksi.
Dengan produksi terhad 40 unit, Bolide terakhir menjadi bukti bahawa warisan boleh bergerak seiring inovasi.
Ia menutup era pembangunan sebuah jentera litar Bugatti yang dibina bukan sekadar untuk kelajuan, tetapi menjadi sebahagian daripada sejarah pemiliknya dan jenama ini sendiri.
Spesifikasi Utama Bugatti Bolide
- Enjin W16 8.0 liter 4 turbo
- Kuasa 1,600 hp @ 7,050 rpm
- Tork maksimum 1,600Nm
- Transmisi DSG 7 kelajuan
- Pacuan semua roda dengan pembeza kawalan elektronik
- Berat kering 1,450 kg
- Nisbah berat kepada kuasa 0.91 kg per hp
- 0 - 100 km/j 2.2 saat
- 0 - 200 km/j 5.4 saat
- 0 - 300 km/j 11.5 saat
- Kelajuan maksimum 380 km/j
- Brek karbon karbon 390 mm depan dan belakang
- Suspensi dua lengan dengan konfigurasi push rod di depan dan sambungan terus di belakang
- Tayar Michelin 30/68-18 depan dan 34/71-18 belakang
Penulis: Muhammad Md Tajudin