Bugatti Baby II - kereta sport Bugatti paling mampu milik, RM138k sahaja

oleh Mohamad Hanif|

Jika anda inginkan sebuah Bugatti, namun baki akaun simpanan anda hanya sekadar cukup-cukup makan sahaja, ini mungkin sebuah produk yang bersesuaian dengan kehendak jiwa kelajuan anda. 

Syarikat yang menghasilkan model terpantas Chiron Sport itu kini hadir dengan sebuah model yang diinspirasikan daripada jentera lumba Type 35 yang diproduksikan antara tahun 1927 - 1936 (lihat sahaja bentuk klasik yang dihasilkan). 
 


Pada asalnya, model ini dihasilkan dalam skala 1/2 daripada model sebenar dikhususkan kepada anak Ettore Bugatti yang berusia empat tahun. 

Namun, Baby II replika ini memiliki skala 3/4 (jika dibandingkan dengan model sebenar) menjadikan ia masih sesuai dioperasikan oleh golongan dewasa dan juga kanak-kanak. 
 


Jentera pacuan roda belakang ini dikuasakan oleh sistem pacuan elektrik, bateri lithium-ion serta dilengkapkan dengan komponen limited-slip differential (LSD) dan ciri brek regeneratif!

Terdapat dua mod pemanduan yang ditawarkan, iaitu mod dewasa dengan kuasa 5 hp dan laju maksimum 45 km/j, dan mod kanak-kanak dengan kuasa dihadkan kepada 1.3 hp dan laju maksimum 19 km/j. 
 


Sama seperti Chiron yang menawarkan Speed Key bagi melepaskan potensi kuasa yang terpendam, Baby II juga turut ditawarkan ciri yang serupa dengan kuasa setinggi 13 hp tanpa had kelajuan. 

Bugatti Baby II ini dilayangkan dengan warna French Racing Blue, dan menerima rim aluminium 8-spoke, tempat duduk balutan kulit dan lencana Macaron Bugatti dalam warna perak solid. 
 


Hanya 500 unit Bugatti Baby II akan diproduksikan dan harga yang ditawarkan cukup berpatutan, sekitar $33,700 (RM137,603) sahaja. 

Sebagai perbandingan, harga sebenar Bugatti Chiron standard bermula dari $3 juta (RM12.25 juta) tidak termasuk tambahan aksesori yang ditawarkan. 

 

Add new comment

Careta Ad