Dari segi rekabentuk, CS8 ialah sebuah kereta sport dua pintu "coupe" dengan ruang but 252 liter dan lengkap dengan ciri-ciri keselamatan modern seperti Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Forward Collision Warning, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert dan pelbagai lagi.
Skrin sesentuh utama yang menegak bersaiz 13.6 inci turut mempunyai fungsi Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar, digabungkan dengan sistem audio 6.1 Channel.
Tempat duduk pula khusus dari Recaro dengan bantuan elektrik. Di bawah lantai but, pemilik dibekalkan dengan set kelengkapan Snap-On dengan tanda nama Bufori.
Enjin utama yang diketengahkan ialah enjin 6.4L V8 Supercharged Hemi yang menghasilkan 810 hp dan 973 Nm, mampu membuat pecutan 0-100 kmsj dalam masa 3.0 saat serta kelajuan maksimum 320 kmsj.
Enjin pilihan lain ialah enjin 6.4L V8 yang sama tetapi tanpa supercharger. Jika cukai jalan itu terlalu mahal untuk anda, ada juga enjin Chrysler Penta 3.6L V6 dengan pilihan supercharger atau tidak.
Kesemua pilihan enjin tidak akan membabitkan sebarang perubahan pada harga - "no cost option". Enjin-enjin itu juga ditala khusus untuk kegunaan Bufori, bermakna komponen yang digunakan berbeza dari apa yang boleh dibeli dari kilang Chrysler, kecuali blok yang serupa.
Sistem transmisi ialah 8-kelajuan automatik dari ZF Jerman.
Brek pula ditempah khas dari Brembo untuk kegunaan CS - brek depan dengan enam angkup sementara belakang datang dengan empat angkup.
Saiz roda aloi ialah 19-inci, dibalut dengan tayar-tayar dari Michelin.
Sistem gantungan pula ialah dari sistem "Independent Short-Long Arm" (SLA) untuk gandar hadapan dan multilink 5-sambungan bagi belakang.
Bufori menghasilkan kebanyakan dari komponen untuk jentera ini dari kilang mereka sendiri di Kepong. Ia juga mempunyai pasukan kejuruteraan yang lengkap untuk membantu dalam proses homologasi bagi memastikan ia menurut piawaian yang membolehkan ia dijual kepada orang awam secara rasmi.
Bufori CS8 dijual dari harga RM2.19 juta dan seperti sebuah kereta prestasi "bespoke" yang lain, pemilik boleh meminta untuk melakukan sebarang "customisation" bagi menjadikan Bufori mereka unik untuk mereka seorang sahaja.