Berteraskan legenda AE86, GT86/BRZ menjadi pilihan pakar-pakar drift dunia, seperti Tengku Djan Ley yang sekali sekala boleh dilihat mengelilingi litar Sepang dengan 86 beliau.
Malah Hezeri Samsuri juga pernah memiliki GT86 kerana berangan hendak drift seperti Djan, walaupun hakikinya drift beliau hanya bertahan 2.5 saat berbanding drift 25 saat oleh Putera Drift Malaya itu.
Apapun, kemasukan unit-unit "recond" menjadikan model sport berenjin boxer ini semakin mampu milik. Harga unit "recond" tidak berdaftar dengan sedikit bau jeruk Tsukemono di dalam but bermula dari serendah RM130,000 dan unit terpakai pula bermula dari RM120,000.
Mungkin kerana itu, semakin ramai yang sudah mula melakukan usaha modifikasi terhadap model ini, seperti yang dilakukan oleh Mohammad Ashrafiq Mohamad Sani dari Pertam Jaya, Melaka.
Masih menuntut, Ashrafiq yang berusia 20 tahun ini mula memandu Subaru BRZ pada bulan Disember 2016. Kenderaan sebelumnya ialah sebuah Hyundai.
Tidak berpuas hati dengan bentuk standard BRZ yang memang agak ringkas, Ashrafiq mula melakukan modifikasi yang agak ekstrem untuk keretanya itu.
Sebenarnya, tidak ada banyak yang boleh dilakukan untuk BRZ/GT86 selain dari memasang bodykit wide body ala rocket-bunny.
Ashrafiq menggunakan bodykit dari jenama tempatan, SR Super Rocket yang mempunyai bengkel di Bemban, Melaka.
Duck-tail spoiler belakang menggantikan spoiler asal sementara lampu belakang aftermarket memberikan sedikit oomph kepada bahagian ekornya.
Sistem gantungan direndahkan lagi dan roda aloi dipasang pada spacer untuk mendapatkan bentuk lebar itu.
Bodykit hadapan lengkap dengan muncung baharu dan hud carbon-fibre dibiarkan dengan warna asal, dihiasi enam barisan liang udara.
Roda aloi Rotiform menjadi pilihan pelengkap kepada pakej BRZ Ashrafiq ini.
Modifikasi ringkas pada enjin memberikan kuasa kuda maksimum melebihi 200 hp dan kos yang telah dihabiskan oleh Ashrafiq sudah pun melangkaui RM20,000.
Sememangnya BRZ istimewa ini mampu membuatkan orang terhenti melihatnya, dan Ashrafiq sudah mula berusaha untuk mencapai impiannya untuk memiliki sebuah Lamborghini nanti.
* Gambar dan info oleh Shah Adam
Artikel pandu uji Subaru BRZ 2018 Manual boleh dibaca di sini.
Di bawah ialah video Pandu Uji Subaru BRZ 2018 Manual