Bruder EXP-8 - trailer camper yang boleh dibawa masuk off-road

oleh Mohamad Hanif|
Terdapat banyak jenama dan syarikat di luar sana yang menawarkan binaan trailer camper yang mungkin anda tidak tahu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Salah satu daripadanya ialah Knaus Tabbert yang sudah pun rasmi menerima penganugerahan Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) untuk memasarkan produk karavan dan trailer camper secara rasmi di Malaysia.

Model yang dipamerkan itu mungkin sesuai untuk kegunaan jalan biasa, namun bagaimana pula jika anda mahukan sesuatu yang lebih mencabar? Masuk laluan off-road misalnya?
 

bruder


Jawapan yang anda cari ada pada model trailer camper EXP-8 yang dihasilkan oleh syarikat Australia, Bruder.

Ia bukanlah trailer yang paling besar pernah dihasilkan oleh Bruder, akan tetapi ia juga merupakan trailer camper yang paling berkeupayaan untuk meredah apa jua bentuk permukaan bumi apabila ditarik.
 

EXP8


Rahsianya, casis yang direka khas untuk kegunaan off-road, empat tayar mud-terrain bersaiz 37 inci, serta sistem suspensi udara yang dibangunkan sendiri oleh Bruder yang membenarkan jarak pergerakan 774 mm, tiga kali lebih panjang berbanding model pesaing.

Malah, ketinggian trailer juga boleh ditetapkan terutama untuk memudahkan urusan keluar masuk.
 

EXP8


Binaan badan trailer ini bukan sahaja ringan, akan tetapi direka untuk bertahan di bawah empat musim utama dengan julat suhu serendah negatif 30 darjah Celcius, dan turut diuji pada altitud melebihi 3,048 meter.

Selain itu, trailer ini turut mempunyai sistem elektrik luar grid yang disokong dengan bateri sebesar 16.7 kWh, komponen penyongsang 5,000 Watt, panel solar 1,600 Watt, storan air bersih 300 liter, sistem penapisan air osmosis berbalik, sistem pendingin hawa, serta sistem penapisan udara yang mampu memerangkap debu habuk daripada memasuki ruang kabin.
 

EXP8


Ruang tidur yang besar di bahagian belakang itu mempunyai beberapa bukaan tingkap untuk membolehkan anda menikmati pemandangan bintang di langit.

Sofa berbentuk L di bahagian tengah itu boleh diubah menjadi katil tambahan yang boleh memuatkan dua orang tidur.
 

Bruder


Menerusi skrin sentuh yang tersedia, anda boleh mengawal segala fungsi peralatan elektrik pada trailer EXP-8 ini termasuklah sistem pencahayaan dalam dan luar empat zon jenis LED dengan mod RGB.

Untuk pakej EXP-8 ini, anda hanya perlu menyediakan wang sekurang-kurangnya AUD$299,000 (atau RM895,614) sahaja, tidak termasuk pakej tambahan yang turut disediakan oleh pihak pembangun.

 


Sumber: Bruder