British Racing Green: sejarah di sebalik warna hijau ikonik automotif

oleh Mohamad Hanif|
Salah satu warna yang paling ikonik di dalam sejarah automotif dunia dan ia sebenarnya bermula dari perlumbaan antarabangsa yang berlangsung kira-kira 118 tahun yang lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jadi kenapa warna ini digunakan dan apa kaitan warna hijau ini dengan British?

Berikut merupakan tujuh perkara berkenaan British Racing Green yang perlu anda tahu:


1. Warna BRG lahir dari Gordon Bennet Cup


Gordon Bennet Cup merupakan siri perlumbaan yang diadakan dari tahun 1900 sehingga tahun 1905.

Pada ketika itu, perlumbaan Grand Prix bukanlah satu medan pertempuran antara pelumba atau pasukan pengilang, akan tetapi lebih kepada perlumbaan antara negara.

Jika negara tersebut memenangi perlumbaan pada tahun tersebut, ia akan diberikan penghormatan untuk menjadi tuan rumah kepada perlumbaan tahun berikutnya.


2. Warna setiap negara ibarat warna rumah sukan

contoh warna Napier Green

Setiap peserta dicadangkan untuk hadir dengan identiti warna yang berbeza mengikut negara, ibarat warna rumah sukan.

Ketika menyertai perlumbaan buat kali pertama pada tahun 1902, Britain terpaksa memilih warna selain daripada merah, putih dan biru disebabkan warna tersebut telah digunakan oleh pasukan lain.

Pengeluar British pada ketika itu, David Napier menyertai perlumbaan kedua dengan jentera berkuasa 50 kuasa kuda dengan layangan warna yang dikenali sebagai Napier Green.

Tidak dapat dipastikan kenapa warna ini dipilih, berkemungkinan besar ia adalah kegemaran peribadi Napier.

 

3. Kemenangan British disebabkan jentera lumba yang lebih ringan


Ketika perlumbaan 1901, jentera lumba Napier 50 hp itu tidak dapat bertahan disebabkan tayar British (Dunlop) pada ketika itu tidak mampu menampung beban jentera seberat 3 tan sepanjang perlumbaan.

Mengambil kira kelemahan tersebut, David Napier membangunkan jentera yang lebih ringan dengan berat sekitar 1 tan sahaja untuk perlumbaan 1902.

Kesan daripada pengurangan berat tersebut, tayar British yang digunakan mampu bertahan sepanjang perlumbaan.

Lebih menarik perhatian, boleh dikatakan hampir kesemua peserta pada perlumbaan 1902 terpaksa berundur awal disebabkan masalah mekanikal, sekaligus menjadikan Britain meraih kemenangan pertama di dalam Gordon Bennet Cup.

 

4. Perlumbaan 1903 tidak diadakan di England, akan tetapi Ireland!


Walaupun tahun 1903 merupakan giliran Britain, mereka tidak dapat menganjurkan di tempat sendiri kerana undang-undang jalan raya pada ketika itu tidak membenarkan kelajuan kenderan melebihi 12 batu sejam (20 km/j).

Ini sekaligus menghalang penganjuran perlumbaan Gordon Bennet Cup.

Para penganjur kemudian menukarkan lokasi perlumbaan 1903 ke Ireland, tanah dimana undang-undang tempatan telah diubah semata-mata untuk membenarkan perlumbaan jalanan diadakan.

 

5. Warna BRG secara rasmi lahir di Ireland


Tiga jentera lumpa Napier memasuki perlumbaan di Ireland pada tahun 1903 dan bersaing dengan jentera Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat.

Pada ketika ini, ketiga-tiga jentera Napier dilayangkan dengan warna yang lebih gelap Shamrock Green sebagai menghormati tanah Ireland yang menganjurkan perlumbaan tersebut.

Ia juga merupakan rujukan awam pertama terhadap jentera lumba British yang dilayangkan dengan warna hijau gelap tersebut sebagai sebahagian daripada liveri perlumbaan nasional.

Jadi, walaupun dengan nama British Racing Green, warna hijau ini sebenarnya merupakan tribut kepada Ireland.

 

6. Terdapat banyak versi British Racing Green!


Zaman awal 1920-an sehingga 1960-an, kebanyakan pengeluar British seperti Bentley, Aston Martin, Cooper, serta Lotus menggunakan skema warna hijau gelap di dalam perlumbaan seperti 24h Le Mans, Formula One dan perlumbaan kereta sports.

Jika diikutkan, warna British Racing Green merupakan satu nama umum yang merujuk kepada warna hijau yang digunakan semenjak pengenalannya di Gordon Bennet Cup.

Namun, ia juga sebenarnya merujuk kepada warna-warna yang berhampiran seperti Brunswick green, hunter green, forest green atau moss green.

 

7. Warna yang tidak terhad kepada pengeluar British sahaja


Walaupun pada asalnya ia merupakan warna yang umum dikalangan para pengeluar automotif British, tiada sebarang undang-undang yang menyatakan ianya haram digunakan oleh pengeluar lain.

Seperti contoh, Mazda pernah melancarkan model MX-5 pada tahun 1991 dan 2001 dengan edisi terhad British Racing Green sebagai penghormatan buat roadster kecil British seperti Triumph Spitfire, Lotus Elan dan MG MGB yang menginspirasikan pembangunan roadster Jepun itu.

Toyota juga pernah memperkenalkan GT86 edisi terhad dengan warna British Racing Green khusus untuk pasaran Jepun sahaja.

Malah, pengeluar automotif negara Proton turut menghasilkan Proton Satria Neo R3 Lotus Racing yang dilayangkan dengan warna hijau ikonik tersebut, dengan unit penghasilan sebanyak 25 buah sahaja.

 

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Perubahan daripada warna merah jambu kepada warna hijau ini adalah berikutan BWT kini bukan lagi…
Berita Global
Namun, bagaimana jika warna tersebut dilayangkan pada SUV mewah, seperti Rolls-Royce?  Mansory…
Berita Domestik
Musim Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi, dan sebagai persediaan menyambut…