Bridgestone, Microsoft bangunkan sistem pemantauan kerosakan tayar (TDMS)

oleh Mohamad Hanif|
Ciri keselamatan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) mungkin satu ciri yang tidak asing untuk kenderaan moden, malah ia juga boleh dipasang pada kereta-kereta lama tanpa memerlukan modifikasi yang besar.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Ia bukan sahaja nampak stailo, malah sistem ini sebenarnya mampu menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa kelalaian akibat tidak peka dengan tekanan tayar yang sepatutnya digunakan.

Seiring dengan perkembangan teknologi, komponen tayar kini mendapat satu lagi ciri baharu yang digelar sebagai Tyre Damage Monitoring System (TDMS) - sistem baharu yang mampu mengesan kerosakan tayar akibat pelanggaran lubang, bahu jalan atau bendasing sekaligus menghantar notifikasi kepada pemandu.

Bridgestone dengan kerjasama Microsoft membangunkan sistem pengesan kerosakan tayar ini menggunakan data yang diperoleh daripada Microsoft's Connected Vehicle Platform (MCVP), serta informasi yang disalurkan oleh penderia khusus yang dipasang pada kenderaan.

Unit penderia ini menggunakan algoritma tersendiri bagi mengesan sesuatu yang aneh pada permukaan tayar, dan dibantu dengan data lokasi dan masa kejadian.

 


Sistem ini juga mampu memberikan amaran kepada pihak berwajib berkenaan kerosakan jalan yang berlaku seperti lubang jalan, atau bendasing yang mampu mendatangkan bahaya kepada pemandu, dan ia amat berguna kepada kenderaan pada masa akan datang yang dilengkapi dengan pemanduan autonomi.

Setakat ini, sistem TDMS ini hanya ditawarkan kepada pengusaha dan pengendali fleet kenderaan yang menggunakan sistem MCVP, dan berkemungkinan besar akan diperluaskan penawarannya kepada umum dalam masa terdekat.

Usah pandang remeh terhadap kerosakan tayar, ini kerana menurut Bridgestone, 30 peratus kemalangan berpunca daripada faktor ini tanpa pemeriksaan yang berkala dan menyeluruh.

Kerosakan tayar bukan sahaja memberikan kesan kepada rim, malah ia juga bakal mendatangkan kerugian apabila sistem yang berkaitan turut sama terkesan, seperti contoh suspensi dan komponen stereng.