Tidak lagi menampilkan sistem hidraulik seperti yang digunakan pada kebanyakan model kenderaan masa kini, sistem Sensify Brembo ini boleh disifatkan sebagai sebuah sistem brake-by-wire yang menampilkan bantuan teknologi kepintaran buatan (AI).
Dengan adanya AI, sistem brek Sensify ini dikatakan akan sentiasa mempelajari tingkah laku dan boleh digunakan untuk memperbaiki pengalaman pemanduan pada masa akan datang.

Sistem Sensify ini direka supaya mampu mengawal setiap roda secara individu, dan dihubungkan oleh dua unit kawalan yang berbeza untuk gandar depan dan belakang.
Disebabkan ia merupakan sistem elektronik sepenuhnya, sistem ini membenarkan pemandu untuk menetapkan sendiri karakter brek yang diperlukan bergantung kepada pemanduan semasa.

Mekanisme brek kini menggunakan unit actuator elektromekanikal yang jauh lebih pantas berbanding sistem hidraulik tradisional, dan ia menjadikan sistem brek yang jauh lebih ringkas dan mampu mengurangkan lagi kos penyelenggaraan kenderaan disebabkan ketiadaan saluran hidraulik tradisional dan keperluan untuk menukar bendalir brek dengan kerap.
Malah menurut Brembo, sistem baharu ini juga dikatakan mampu mengurangkan kadar kehausan pada cakera brek, memaksimumkan kadar brek regeneratif, serta meminimumkan emisi disebabkan kurangnya rintangan antara pad brek dan rotor.

Disebabkan sistem yang jauh lebih ringkas, Sensify boleh dimuatkan pada apa jua jenis kenderaan seperti sedan, SUV, EV, kenderaan komersial atau supercar, dan boleh dikonfigurasikan untuk pemanduan sebelah kiri atau sebelah kanan dengan mudah.
Malah, ia juga boleh diintegrasikan pada platform kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE).
Menurut Brembo, sistem Sensify ini dijangka muncul menjelang tahun 2024.