Berita baik untuk peminat tempatan: F1: The Movie akan mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 26 Jun 2025, termasuk di GSC, TGV dan pawagam utama lain.

Kisah Comeback Dalam Dunia F1
Brad Pitt membawakan watak Sonny Hayes, bekas pelumba F1 yang dipujuk oleh bekas rakan sepasukan dan pemilik pasukan APXGP, Ruben Cervantes (Javier Bardem), untuk kembali berlumba bagi menyelamatkan pasukan yang sedang tenat. Sasaran? Cuma satu kemenangan dalam separuh kedua musim cukup untuk menghalang lembaga pasukan daripada menjual APXGP.
Namun kepulangan Sonny bukan mudah. Dia perlu berganding dan berentap dengan pelumba muda penuh ego, Joshua Pearce (Damson Idris), menjadikan konflik dalam pasukan lebih dramatik dan tegang.
Semua pelumba F1 musim 2025 berhimpun atas bumbung penthouse di Times Square, New York City, untuk pelancaran F1: The Movie pada 16 Jun lalu George Russell, Charles Leclerc, Lando Norris, Yuki Tsunoda, Esteban Ocon dan ramai lagi. Hanya Max Verstappen saja yang tidak hadir.
Dihasilkan Dengan Sentuhan Asli Dunia F1
Filem ini menampilkan penggambaran di litar-litar F1 sebenar termasuk Silverstone, Monza dan Spa, dengan kedua-dua pelakon utama menjalani latihan pemanduan sebenar sehingga mencapai kelajuan 180 mph. Hasilnya, adegan lumba dalam filem ini terasa realistik, walaupun diselitkan dengan sedikit ‘bumbu’ Hollywood seperti babak dramatik “mencari gear tambahan di garisan lurus”.

Skor muzik Hans Zimmer mengiringi perjalanan cerita dengan gaya yang cukup bombastik kadangkala terasa berlebihan, namun tetap mengangkat intensiti emosi pada saat-saat penting.
Lewis Hamilton di Sebalik Tabir
Walaupun Lewis Hamilton hanya muncul sepintas lalu dalam filem, peranannya di belakang tabir jauh lebih besar. Hamilton ialah penerbit eksekutif menerusi syarikatnya Dawn Apollo Films, dan bertindak sebagai penasihat teknikal untuk memastikan elemen perlumbaan dalam filem ini kekal realistik dan autentik.

Beliau turut membantu melatih pelakon utama serta menjadi penghubung antara produksi filem dan dunia sebenar F1 termasuk akses ke litar, pasukan dan pelumba sebenar. Namun begitu, pada malam tayangan perdana, hanya Kosinski, Bruckheimer dan Pitt diberi ruang berucap di pentas satu perincian yang mengundang sedikit kritikan.
Kurang Ruang Buat Pelumba Sebenar
Walaupun pelumba sebenar seperti Charles Leclerc, George Russell dan Hamilton sendiri muncul, mereka hanya memainkan peranan kecil kebanyakannya dalam babak atas podium atau ketika berlumba, tanpa sebarang dialog. Sayang sekali kerana personaliti pelumba moden sebenarnya sangat media-savvy dan boleh memberikan impak lebih besar.

Layak ke Menang Anugerah?

Dengan durasi 156 minit, F1: The Movie bukan sekadar filem aksi permotoran biasa. Ia gabungan antara adrenalin, drama karakter, realisme dunia F1 dan gaya penceritaan Hollywood yang kemas. Ia mungkin tidak setajam Rush arahan Ron Howard, tetapi bagi peminat F1, filem ini cukup untuk berdiri di atas podium sebagai antara tontonan wajib tahun ini.
Tarikh tayangan di Malaysia: 26 Jun 2025 di pawagam utama seluruh negara.

