Brabus B45 - 444 kuasa kuda, 550 Nm, 0-100 dalam masa 3.7 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Dalam keadaan standard kilang, Mercedes-AMG A 45 S mampu menghamburkan kuasa sekitar 416 kuasa kuda dan 500 Nm, satu angka yang cukup menakjubkan yang lahir dari enjin M139, nadi 2.0 liter paling berkuasa di dunia.

Namun, 416 kuasa kuda itu nampaknya bakal menjadi satu lipatan sejarah apabila penala terkenal Brabus mula menurunkan magis mereka terhadap A 45 S asal dan bertukar menjadi Brabus B45.

 


Daripada angka 416, kuasa kuda yang mampu dihamburkan oleh B45 mampu menyamai 444 ekor kuda dan daya kilas sebesar 550 Nm, membolehkan B45 ini memecut sepantas 3.7 saat dari 0-100 km/j.

Namun, kelajuan tertinggi yang dihadkan secara elektronik tetap tidak berubah (270 km/j).

 


Selain daripada naik taraf kuasa, Brabus B45 kini duduk 30 mm lebih rapat kepada tanah, terima kasih kepada sistem suspensi boleh laras, serta pemasangan rim Brabus Monoblock kustom bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar Continental.

Sementara ruang kabin B45 ini didatangkan dengan upholsteri kulit bespoke, pedal aluminium, alat lantai velour dan scuff plate beriluminasi.

 


Untuk mereka yang sangsi dengan talaan yang diberikan, usah risau kerana Brabus mendatangkan jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 km untuk setiap Brabus B45 ini.