Brabus 900 Rocket - Mercedes-AMG G 63 dengan kuasa supercar!

oleh Mohamad Hanif|
Brabus merupakan salah satu jenama penala yang terkenal dan sinonim dengan Mercedes-Benz, dan sentuhan mereka terhadap SUV G 63 AMG juga tidak boleh diketepikan dengan mudah.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Terbaharu, penala dari Jerman itu memperlihatkan secara rasmi model Brabus 900 Rocket yang dihadkan kepada 25 unit sahaja.

Dari segi luaran, model asal Mercedes-AMG G 63 telah dipasangkan dengan kit badan Brabus Widestar yang lebih agresif, terima kasih kepada penggunaan bahan gentian karbon terdedah pada bampar hadapan dan belakang, penambahan fender lebar, skup bonet berkembar serta penambahan beberapa liang kemasukan udara.

 


Selain daripada itu, anda boleh lihat sendiri penampilan gentian karbon pada spoiler hadapan, gril hadapan, serta spoiler bumbung baharu yang direka untuk penambahan daya turun ketika kelajuan tinggi.

Keseluruhan badan SUV ini diberikan layangan warna Stealth Gray dengan kemasan aksen merah, diikuti dengan rim Brabus Monoblock Z "Platinum Edition" forged bersaiz 24 inci, padanan Aero Disc gentian karbon dan tayar prestasi tinggi (295/30 depan, 355/25 belakang).

Talaan Brabus terhadap enjin asal membuatkan anda merasa amat beruntung kerana mendapat sebuah pakej kuasa supercar dalam badan SUV.

 


Ini kerana enjin asal 4.0 liter V8 telah dipertingkatkan sesarannya kepada 4.5 liter, selain penambahan unit pengecas turbo yang lebih besar, billet crankshaft, bore silinder yang diperbesar, stroke yang dipanjangkan, omboh tempa, rod penyambung tempa, pam bertekanan tinggi, injap BoostXtra serta sistem kemasukan udara jenis Ram-Air.

Segala sisa pembakaran disalurkan keluar menerusi sistem ekzos keluli tahan karat dengan pemangkin logam aliran bebas, serta flap ekzos aktif.

Tidak ketinggalan, Brabus turut menala kembali perisian ECU dengan pemetaan baharu untuk sistem pancitan, pencucuhan dan kawalan tekanan boost.

 


Jadi dengan segala modifikasi yang dibuat, enjin V8 4.5 liter itu kini sihat 'melahirkan' kuasa setinggi 888 hp dan daya kilas 1,250 Nm, namun disebabkan mahu menjaga enjin, angka tersebut dihadkan secara elektronik kepada 1,050 Nm sahaja.

Dengan transmisi automatik 9G-TRONIC, sistem pacuan semua roda dan berat badan sekitar 2,560 kg, G-Wagen Brabus ini masih mampu memecut sepantas 3.7 saat dari 0-100 km/j walaupun memiliki badan berpetak yang tidak begitu aerodinamik itu.

 


Ia sekaligus 0.8 saat lebih pantas berbanding model standard G 63 AMG, serta 0.1 saat lebih pantas berbanding Brabus G V12 900.

Kelajuan tertinggi pula dihadkan kepada 280 km/j bertujuan untuk melindungi tayar.

Aspek pengendalian Brabus 900 ini diserahkan kepada sistem suspensi gegelung aluminium Brabus Ride Control degnan peredam kawalan elektronik yang boleh merendahkan ketinggian SUV ini sebanyak 45 mm.

Sistem brek pula terdiri daripada angkup kekal serta rotor 400 mm cross-drilled, diikuti dengan angkup terapung dan rotor bersaiz 370 mm di bahagian belakang.

 


Ruang dalaman Brabus 900 ini mendapat empat tempat duduk individu yang lengkap dengan sistem pemanas dan ventilasi, kemasan upholsteri kulit hitam dengan sulaman unik, kemasan gentian karbon pada papan pemuka dan konsol tengah, trim merah Rocket Red, pedal aluminium serta scuff plate beriluminasi dengan logo Brabus yang boleh bertukar warna.

Sementara ruang penumpang belakang pula disediakan tempat pemegang cawan dengan ciri pemanas dan penyejuk, peti sejuk kecil, serta skrin kawalan sentuhan bersaiz 4.3 inci.

 


Seperti yang disebutkan, Brabus hanya membina 25 unit sahaja Brabus 900 dengan harga jualan bermula dari €480,059 (RM2,369,403) di pasaran Jerman.