Bot penyelamat terdampar di Pantai Trombol Kuching, milik kapal kargo China

oleh Penyumbang Rencana|
Kehadiran bot penyelamat berwarna jingga dengan tanda nama Bohaimingzhu 2 yang ditemui terdampar di Pantai Trombol di sini pada 4 Januari lalu masih dalam siasatan.


Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, bot penyelamat tersebut berkemungkinan milik kapal kargo MV Lider Express.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

Kapal kargo dari negara China itu dilaporkan mengalami masalah teknikal semasa belayar di perairan Natuna, Indonesia.

 

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menerima laporan berkenaan bot penyelamat yang dijumpai oleh penduduk kampung di sekitar Pantai Trombol, Kuching pada petang, 4 Januari, Rabu lalu.

 

“Usaha untuk memindahkan bot penyelamat tersebut telah dilakukan oleh pihak Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada petang semalam, terpaksa ditangguh akibat cuaca kurang baik serta laut bergelora, dan akan diteruskan hari ini,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

 

Bagaimanapun, pihak Maritim Malaysia katanya masih menunggu pengesahan berkaitan kejadian tersebut daripada beberapa pihak yang terlibat.

 

“Bot tersebut akan dipindahkan ke kawasan berdekatan di Telaga Air, Kuching untuk siasatan lanjut dari pihak Maritim Malaysia dan PDRM.

 

“Maritim Malaysia mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544,” ujarnya.

 

Maklumat daripada penduduk kampung memberitahu semasa dijumpai bot penyelamat tersebut dalam keadaan kosong, tidak berpenumpang dan boleh diakses daripada luar.

 

 

Bernama