Tekong kemudian bertindak membawa bot ke pesisir pantai bagi membolehkan semua penumpang dan kru menyelamatkan diri.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati bot terbabit berlepas dari Terminal Menumbok pada 2.45 petang.
"Kebakaran dipercayai bermula di bahagian enjin sebelum merebak ke bahagian lain dan semua penumpang dan tiga kru berjaya menyelamatkan diri selepas bot menghampiri kawasan pesisir pantai.
"Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada 4.15 petang," katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, tiga mangsa yang cedera terdiri daripada seorang kru lelaki berusia 29 tahun serta dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia satu dan dua tahun.
"Ketiga-tiga mereka menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Labuan. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.