Bosch Rexroth dan UMP jalin kerjasama dalam pembangunan kejuruteraan automasi

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Salah satu pusat pengajian tinggi Malaysia, Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini telah bekerjasama dengan Bosch Rexroth Sdn Bhd (Bosch Rexroth) melalui aktiviti pembangunan kurikulum untuk mengukuhkan kerjasama universiti-industri.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kerjasama tersebut melibatkan latihan industri, pertukaran pelajar, menawarkan penambahbaikan kursus pembelajaran dan membuat modul latihan industri berasaskan pensijilan daripada Jerman sebagai rujukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bosch Rexroth Malaysia, Darren Chan Chon Hoe berkata, “Industri 4.0 adalah tonggak strategik untuk kami, dan ia secara asasnya akan mengubah cara kami mengeluarkan produk dan bekerjasama dengan mesin."

"Bagi kami, Industri 4.0 bukan tentang menggantikan pekerja sedia ada dengan robot dan komputer. Ia adalah mengenai membina bakat dan meningkatkan kemahiran agar sesuai dengan ekonomi digital untuk memacu kecekapan dan daya saing,”

Menurut Naib Canselor UMP, Professor Dato’ Ts. Dr. Yuserie, kerjasama dengan Bosch Rexroth Academy di Jerman itu melibatkan pembelajaran secara hands-on dengan penggunaan peralatan di Malaysia dan luar negara serta program pensijilan untuk pelajar.

 

2

 

Professor Dato’ Ts. Dr. Yuserie berkata, “UMP, sebagai universiti MTUN yang bercirikan teknologi dan kejuruteraan, sentiasa bercita-cita untuk menjadi lebih berdaya saing di peringkat global.

Kami amat mengalu-alukan rangkaian kerjasama dengan rakan industri dalam membangunkan program yang dipersetujui dan aktiviti untuk manfaat bersama,”

UMP Rexroth Bosch Academy juga merupakan pusat latihan lanjutan berasaskan Perindustrian Teknologi Revolusi 4.0 (IR4.0). Kemudahan UMP telah dilengkapi dengan keperluan peralatan latihan dari akademi latihan Bosch Rexroth, dengan sukatan pelajaran dan modul yang disesuaikan dengan pasaran tempatan.

Program pensijilan tersebut bakal meningkatkan kecemerlangan individu dalam menyediakan tenaga kerja IR4.0 dan memanjangkan peluang ini bukan sahaja kepada UMP tetapi kepada seluruh negara.

Melalui akademi tersebut, UMP turut berperanan dalam memacu migrasi IR4.0 dalam kalangan industri, terutamanya di Pantai Timur Malaysia.