Bosan? Boleh beli Ninebot Segway GoKart elektrik untuk berlumba dalam rumah

oleh HEZERI SAMSURI|
Untuk mereka yang mampu dan mempunyai rumah seluas gudang, Ninebot Segway GoKart ini memang satu perkara yang mengujakan dan paling menarik, ia boleh dibeli di Malaysia dengan waranti sekali kerana ia mempunyai wakil rasmi di sini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Ninebot ialah sebuah syarikat China yang telah membeli syarikat terkenal Segway dari US - jenama popular untuk kenderaan peribadi dua roda berkuasa elektrik.

Segway memang terkenal dengan kebolehannya untuk "berdiri" sendiri kerana menggunakan antara sistem giroskop terbaik di dunia.

Ninebot Segway GoKart pula sebenarnya adalah kit GoKart yang mampu menukarkan alat dua roda hoverboard NineBot Segway Mini kepada sebuah gokart.

 

 

 

Ninebot Segway Mini menggunakan dua motor untuk menghasilkan kuasa setinggi 800 W setiap satu dan daya kilas setinggi 70 Nm (untuk perbandingan, Yamaha Y-suku menghasilkan daya kilas setinggi 13.8 Nm dan Honda RS150 pula pada 13.5 Nm).

Kit Ninebot Segway GoKart adalah kerangka gokart yang menggunakan Ninebot Mini untuk menjadi tenaga penggeraknya.

Dengan berat 28 kg, ia mampu membawa pemandu seberat maksimum 100 kg dan setinggi 190 cm (ketinggian minimum ialah 130 cm). 

 

 

Kelajuan maksimum adalah 24 kmsj, lebih laju berbanding dengan Ninebot Segway Mini pada20 kmsj.

Anda boleh mengawal kelajuan gokart ini menggunakan peranti pada telefon pintar anda. Contohnya, anda boleh membataskan kelajuan maksimum kepada 8 kmsj untuk pemandu baharu atau untuk anak anda.

Ia juga mempunyai gear undur - tekan brek dua kali dan ia akan mengundur selaju 3 kmsj. 

Jarak perjalanan dengan sekali caj ialah 15 km, tetapi bergantung kepada berat pemandu, cara pemanduan, kedudukan jalan dan kelajuan.

 

 

Ia juga dilengkapi dengan lampu LED di hadapan dan belakang dan brek elektronik serta mekanikal.

Tayar yang digunakan ialah tayar tanpa udara (ia mempunyai ruang kosong di dalam untuk menyerap hentakan).

Untuk anda yang sedikit nakal, kami sangat gembira untuk memberitahu bahawa Ninebot Segway GoKart  ini dilengkapi dengan brek tangan untuk menghentikan roda belakang, agar anda boleh membuat aksi "handbrake turn".

Menurut laman web rasmi Ninebot Malaysia, harga Ninebot Segway GoKart ini ialah RM5,850 (termasuk Ninebot Segway Mini Pro).

 

 

Sekiranya anda sudah mempunyai Ninebot Segway Mini, harga kit gokart itu sahaja ialah RM3,250.

Menurut wakil pengedar tempatan, jualan melalui Lazada dan Shopee kemungkinan besar tidak datang dengan waranti selama setahun dari Ninebot Malaysia dan ada juga produk tiruan.

Jadi untuk membeli yang asli, terus ke laman web mereka di http://shop.ninebotmalaysia.com.my