Elkann dilaporkan kecewa apabila kedua-dua pelumba itu gagal menamatkan perlumbaan (DNF), dan mengambil contoh kejayaan skuad Ferrari dalam World Endurance Championship (WEC) yang baru sahaja menjuarai kejuaraan dunia 2025 di Bahrain pada 8 November. Menurutnya, kemenangan itu datang daripada pasukan yang bersatu.
Dua DNF di Interlagos Cetus Rasa Kecewa
Di Interlagos, Leclerc menjadi pelumba pertama Ferrari tersingkir pada pusingan ke-6 selepas insiden tiga hala dengan Oscar Piastri dan Andrea Kimi Antonelli ketika restart keselamatan. Akibat rempuhan, tayar depan kiri Leclerc pancit dan dia terpaksa memberhentikan kereta di tepi litar.
Hamilton pula menarik diri pada pusingan ke-39 selepas keretanya mengalami kerosakan hasil daripada dua insiden berasingan dengan Carlos Sainz dan Franco Colapinto pada pusingan pembukaan. Kedua-dua pelumba jelas kecewa dan tidak berselindung daripada meluahkan rasa frustrasi terhadap nasib buruk yang menimpa mereka.
Elkann: Ferrari Menang Bila Bersatu
Elkann menegaskan masalah utama Ferrari kini ialah kurangnya kesepaduan, terutama jika dibandingkan dengan prestasi kukuh skuad WEC mereka.
Antara kenyataan beliau yang paling menusuk:
“Ferrari menang bila kita bersatu. Keputusan pasukan WEC membuktikannya. Bila semua bergerak sebagai satu pasukan, kita capai perkara yang hebat. Brazil adalah kekecewaan besar. Jurutera buat yang terbaik untuk memperbaiki kereta, mekanik sentiasa pantas di pit. Tapi selebihnya tidak mencapai tahap yang sepatutnya.”
Beliau kemudian menambah:
“Kita ada pelumba yang sepatutnya fokus pada pemanduan, kurang bercakap, dan memberi tumpuan pada perlumbaan penting di hadapan. Kedudukan kedua masih boleh dicapai. Mesej paling penting dari Bahrain ialah: bila Ferrari bertindak sebagai satu pasukan, kita menang.”
Ferrari Jatuh Ke Tempat Keempat
Kegagalan berganda di Brazil memberi kesan besar dalam perebutan kedudukan konstruktor. Mercedes dan Red Bull kedua-duanya memintas Ferrari, menyebabkan pasukan merah itu jatuh dari tempat kedua ke tempat keempat dalam kejuaraan pembuat (constructors’ championship).
Sumber: https://www.sportskeeda.com/f1/news-things-heat-ferrari-boss-tells-lewis-hamilton-charles-leclerc-talk-less-focus-driving