"Sudah tentu kita telah lakukan pelbagai perbincangan dan kita akan cuba untuk mengawal selia isu tiket penerbangan ini, termasuklah yang melibatkan umrah dan sebagainya. Kerana ada syarikat penerbangan yang terima 'tempat duduk' manakala ada syarikat lain pula tidak menerimanya.
"Ini menimbulkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak. Jadi kita akan mencari solusi dan penyelesaian terbaik bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada semua," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran "AirAsia 5 Million Free Seats Campaign" pada Jumaat.
Mengulas mengenai perkembangan baharu berhubung dakwaan membabitkan isu penjualan tiket penerbangan umrah kepada agensi luar negara, Tiong berkata, perkara itu akan dimaklumkan oleh timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan kelak.
Katanya, Khairul akan membantunya menguruskan isu berhubung penjualan tiket umrah itu dan siasatan lanjut akan dilakukan pada minggu hadapan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan terdapat beberapa syarikat umrah tempatan yang "memborong" tiket penerbangan ke Tanah Suci dan didakwa syarikat terbabit turut menjualnya kepada agensi luar negara bagi mengaut keuntungan besar.