Bomba Dearborn musnahkan 'Ford Shelby GT500' untuk tujuan latihan ekstrifikasi

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada memadamkan api kebakaran, antara tugas-tugas yang perlu dilakukan oleh pasukan bomba dan penyelamat adalah memastikan mangsa kemalangan dapat dikeluarkan dengan apa jua cara - termasuklah memotong kenderaan (vehicle extrication).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tugas ekstrikasi ini memerlukan latihan penggunaan yang lebih spesifik, dan pihak Dearborn Fire Department mempunyai satu cara tersendiri bagi menguji skil pasukan penyelamatnya, dengan menggunakan sebuah kereta 'mahal' Ford Mustang Shelby GT500 2020!

Gambar Ford Mustang berwarna merah itu dimuat naik menerusi laman Facebook Dearborn Firefighters dan boleh dilihat perbezaan di mana Mustang Shelby tersebut telah dipotong dan 'dibedahsiasat' sepanjang tempoh latihan tersebut diadakan.

 


Bagi mereka yang sedih, usah melenting kerana unit Mustang Shelby GT500 itu sebenarnya merupakan unit ujian dan ia telah didermakan oleh Ford Motor Company bagi tujuan spesifik tersebut.

Ini kerana kereta pra-produksi kebiasannya tidak memenuhi regulasi dan peraturan yang ditetapkan, jadi adalah lebih baik sekiranya ia dimanfaatkan oleh pihak yang lebih memerlukan - dalam kes ini pasukan bomba.

 


Sebagai makluman, Ford Mustang Shelby GT500 2020 dikuasakan enjin 6.2 liter bentangan V8 dengan supercharger Eaton menghasilkan 760 kuasa kuda dan 847 Nm dan dijual bermula dari $73,995 (RM306,136) termasuk kos destinasi ($1,095) dan juga cukai 'gas-guzzler' $2,600.

Untuk mereka yang mahukan Ford Mustang Shelby GT500 tampil lebih menawan, Ford menawarkan pakej Carbon Fiber Track bernilai $18,500 (RM76,539) yang merangkumi:

  •     rim gentian karbon 20 inci
  •     tayar Michelin Pilot Sport Cup 2
  •     GT4 track wing dengan ciri dive plane terbina
  •     splitter hadapan
  •     tempat duduk belakang ditiadakan