
Ketua Zon 4 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba II, Norshuhada Amsari berkata, laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kira-kira jam 11.30 malam Sabtu lalu atas arahan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Menurut beliau, tindakan itu diambil kerana laporan kehilangan yang diterima dianggap sebagai tidak wajar dan tidak bertanggungjawab, yang akhirnya menyebabkan pembaziran masa serta tenaga pasukan penyelamat.
“Bukan itu sahaja, ia juga membabitkan risiko kejadian kecemasan yang lain terganggu kerana pegawai dan anggota telah tertumpu di kawasan yang dilaporkan kononnya kehilangan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, JBPM memandang serius perkara ini kerana ia turut memberi kesan kepada kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi penyelamat.
“Tindakan ini turut menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada agensi seperti kami,” tegasnya.
Jelas Norshuhada, laporan itu dibuat bagi menegur individu yang gemar membuat laporan tidak sahih, yang akhirnya hanya menyusahkan banyak pihak termasuk mengganggu operasi menyelamat sebenar.
Dalam operasi mencari dan menyelamat yang berlangsung selama empat hari itu, seramai 30 pegawai dan anggota JBPM dari Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi bagi mengesan mangsa seperti dilaporkan oleh adik pempengaruh berkenaan.
“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut ditugaskan di lokasi pencarian selain penggunaan tujuh aset termasuk milik Unit Dron Pasukan Bomba,” jelasnya.
Namun, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang tanda kehilangan di lokasi yang didakwa.
“Kami agak kecewa apabila menerima maklumat daripada pihak polis bahawa mangsa sebenarnya selamat dan tidak berada di lokasi pencarian,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, laporan kehilangan dibuat oleh seorang lelaki terhadap abangnya, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin seorang pempengaruh permotoran tempatan.

Laporan itu mendakwa kereta Perodua Axia yang dipandu abangnya ditemui terjunam ke dalam Sungai Tui dan mangsa disyaki lemas. Namun siasatan pihak polis mendedahkan bahawa kejadian itu adalah satu ‘rekaan’ dan adik lelaki Ija kini sedang disiasat lanjut.
Pihak berkuasa kini menasihati orang awam agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan tidak benar yang boleh menyebabkan pembaziran sumber serta menyulitkan kerja menyelamat sebenar.