Bom mortar ditemukan dekat Terowong Menora dimusnahkan

oleh Penyumbang Rencana|
Laluan di KM265 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, kira-kira empat kilometer selepas Terowong Menora disahkan selamat selepas bom mortar yang dijumpai di lokasi itu dimusnahkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata bom mortar 81mm dari kategori Unexploded Ordnance (UXO) itu dijumpai ketika kerja pembersihan landskap pokok serta rumput kira-kira jam 9.30 pagi Isnin.

Beliau berkata, penyelia kepada kakitangan yang melakukan kerja pembersihan itu menghubungi polis peronda lebuh raya sebelum laporan dibuat di Balai Polis Jelapang kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Menurutnya, kerja pemusnahan bom itu kemudiannya dijalankan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan dibantu UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh tanpa sebarang insiden lain sekitar 1 tengah hari tadi.

“Pemeriksaan dijalankan ke atas bom UXO jenis bom mortar 81mm itu dengan ia didapati cukup sifat. Pasukan UPB mengambil tindakan pemusnahan bom berkenaan menggunakan teknik ‘high order’ kaedah elektrik.

“Pemusnahan yang hanya membabitkan sebutir bom itu berjaya dijalankan tanpa membabitkan kehilangan nyawa dan harta benda,” katanya.

Terdahulu, penemuan bom dilapor mengakibatkan penutupan sementara laluan PLUS antara Kuala Kangsar-Ipoh bagi kedua-dua arah atas tujuan keselamatan hingga mengakibatkan kesesakan trafik yang dikatakan sejauh 15 kilometer.

 

Bernama