Boleh ke pandu kereta guna kawalan jauh? Ini yang diuji di UK!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Fetch Imperium Drive
Fetch Imperium Drive
Teknologi kereta hari ini memang benar-benar ajaib. Jika sebelum ini kereta tanpa pemandu nampak seperti mustahil hari ini tidak lagi.

Terbaru sebuah syarikat permulaan Imperium Drive dari Britain akan memulakan ujian pertama Fetch di United Kingdom yang menawarkan khidmat e-panggilan (car hailing) kereta tanpa pemandu.

Apa yang menarik adalah pemanduan tersebut dikemudi menggunakan teknologi kawalan jauh.

Melalui kaedah itu, pengguna boleh memesan kereta tanpa pemandu melalui aplikasi dan kereta tersebut dihantar ke lokasi melalui kawalan jauh.

Pengguna kemudian memandu seperti biasa ke lokasi yang dituju dan selepas itu operator kawalan jauh akan mengemudi kereta ke pusat hentian atau kepada pengguna seterusnya.

Memang idea bernas! 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Fetch Imperium Drive

 

Teknologi pemanduan kawalan jauh sebenarnya sedang diuji di beberapa buah negara dan penggunaan aplikasi Fetch adalah yang pertama di UK.

Tidak dinafikan banyak syarikat sedang menguji teknologi swapandu dan Imperium Drive bakal beralih kepada teknologi tersebut dalam dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dari segi kos pula bagaimana? Imperium Drive memaklumkan teknologi ini dapat meningkatkan pendapatan pengendali khidmat perkongsian dan syarikat penyewaan jangka masa pendek.

Mereka boleh menghantar kereta dengan lebih cepat dalam tempoh permintaan tinggi sebagai contoh waktu puncak bagi memaksimumkan kadar penggunaan.

Syarikat juga dapat menurunkan kos pengalihan semula kereta selepas tempoh penyewaan pelanggan tamat.

Pengujian Fetch akan melibatkan beberapa jenis kenderaan seperti kereta penumpang dan kereta mikro elektrik yang dilengkapi teknologi pemanduan kawalan jauh Imperium Drive.

 

Fetch Imperium Drive

 

Teknologi tersebut menggunakan sambungan rangkaian 5G dan membolehkan operator membuat penukaran kawalan kereta berbeza apabila diperlukan.

Buat permulaan, ujian tersebut dibuat di laluan persendirian sebelum dilakukan di jalan awam dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Imperium Drive juga bekerjasama dengan beberapa pengeluar kereta bagi menilai penggunaannya di dalam pelbagai jenis kenderaan dari kereta bandar sehingga kenderaan perdagangan yang dipandu di lebuh raya.

Syarikat mensasarkan untuk melancarkan khidmat kereta panggilan kawalan jauh di UK pada setengah tahun kedua 2022.

Jika berjaya, rakyat tempatan yang melancong ke UK boleh melihat kereta dipandu tanpa pemandu di dalamnya!

Penulis: Muhammad Md Tajudin