Ditawarkan dalam versi Z4 sDrive30i M Sport, jentera roadster ini membawakan struktur jeriji buah pinggang hitam dengan penambahan garisan melintang pada komponen mesh, salur kemasukan udara sisi diperbaharui, serta tidak ketinggalan pakej Shadowline M sebagai ciri standard.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan sistem transmisi Steptronic Sport dan brek M Sport, suspensi adaptif M, dan set rim aloi ringan bersaiz 19 inci.
Untuk ruang dalaman, BMW Z4 facelift kali ini membawakan kemasan trim Aluminium Mesheffect bagi melengkapi penawaran seperti BMW Live Cockpit Professional, tempat duduk M Sport dengan balutan kulit Vernasca, serta skrin paparan head-up.

Varian Z4 sDrive30i ini dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo dengan janaan kuasa 255 hp dan 400 Nm.
Terdapat tiga warna baharu yang ditawarkan iaitu Skyscraper Grey, Thundernight Metallic dan Portimao Blue bagi melengkapi warna sedia ada Alpine White, Black Sapphire dan San Francisco Red.

Warna ruang dalaman pula terdiri daripada pilihan warna kulit Vernasca hitam dan sulaman hitam, Ivory White dengan sulaman hitam, Magna Red dengan sulaman hitam, atau Cognac dengan sulaman hitam.
Harga jualan BMW Z4 sDrive30i M Sport 2023 ini bermula dari RM508,800 atau bulanan serendah RM6,203.00 dengan Pelan Pembiayaan Straight Plan (anggaran pinjaman 80 peratus untuk tempoh tujuh tahun).