BMW X7 Inkas ini boleh lindungi anda daripada serangan bom tangan!

oleh Mohamad Hanif|
Ini merupakan SUV BMW X7 pertama di dunia yang hadir dengan perlindungan kalis peluru dan kalis bom tangan yang dihasilkan oleh pengeluar kenderaan berperisai dari Kanada, Inkas Armored Vehicle Manufacturing.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi luaran, BMW X7 ini masih lagi rupa standard, namun disebalik rupa yang gagah itu tersembunyi perlindungan balistik 360 darjah dengan penarafan BR6.

 


Menurut Inkas, perisai yang dipasang ini mampu menghentikan serangan peluru raifal berkuasa tinggi 7.62 atau .308, serta serangan dua bom tangan yang diledakkan serentak!

 


Selain daripada perisai kalis peluru itu tadi, X7 ini juga boleh dimuatkan dengan peralatan perlindungan lain, serta opsyen seperti sistem penapisan udara, siren, lampu kecemasan, keupayaan pandangan malam, dan tembakan asap untuk tujuan mengelirukan musuh.

Untuk memastikan SUV ini memiliki keupayaan lari dari pihak musuh, Inkas turut menawarkan naiktaraf kuasa kepada 612 kuasa kuda, atau versi V8 4.4 liter turbo berkembar yang menghasilkan 523 hp, atau kekal dengan model asas dengan enjin enam silinder sebaris berkuasa 335 hp itu.

 


Namun, disebabkan penambahan berat akibat pemasangan perisai perlindungan itu, sistem suspensi X7 ini telah ditala semula, dan tayar run-flat telah dipasang secara standard.

Inkas telah membuka tempahan bagi mereka yang mahu menjadikan BMW X7 lebih selamat digunakan di atas jalan raya, namun harga pakej tersebut tidak didedahkan secara rasmi.