BMW X5 Protection VR6 2024 - SUV kalis peluru berkuasa 523 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Selepas kemunculan model sedan berperisai BMW 7 Series awal bulan lepas, BMW meluaskan lagi penawaran barisan model kalis peluru menerusi pengenalan model SUV BMW X5 Protection VR6 2024.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk menjadikan pemanduan yang lebih stailo di atas jalan raya, BMW X5 ini didatangkan dengan kemasan yang sporti, seperti contoh kemasan jeriji M, perumah cermin sisi berwarna hitam berkilat, rel bumbung BMW Individual, serta tip ekzos BMW M.

Memang jika dilihat daripada sudut luaran, tiada ciri-ciri yang boleh menjadikan BMW X5 ini terlalu menonjol.
 

VR6


Namun disebalik rupa paras yang biasa itu, ia menampilkan struktur kalis peluru yang diperbuat daripada plet keluli berkekuatan tinggi di bahagian seperti pintu, rangka sisi, bumbung dan juga pemisah ruang enjin dan ruang kabin.

Perlindungan terhadap penumpang juga turut diperketatkan dengan ciri perisai pada bahagian kargo serta perlindungan bawah badan aluminium.

Sementara tangki bahan api pula dibaluti bahan khas untuk mengelakkan sebarang kebocoran kesan daripada peluru sesat.
 

VR6


Hasilnya, BMW X5 ini mampu menawarkan perlindungan kelas VR6 yang dapat memastikan keselamatan penumpang daripada peluru AK-47 7.62x39, peluru penembus perisai 30.06, serta boleh bertahan daripada serangan TNT.

Pembeli juga boleh memilih untuk menambah perisai bawah badan dan perisai bumbung untuk perlindungan yang lebih menyeluruh.

Dari segi kuasa, BMW X5 Protection VR6 dibekalkan dengan enjin bentangan V8 4.4 liter yang dipadankan dengan sistem hibrid ringan 48 voltan, dengan kuasa setinggi 523 hp dan 750 Nm.
 

VR6


BMW tidak mendedahkan amaun berat sebenar X5 Protection VR6 ini, namun pemasangan komponen perisai itu mampu memperlahankan pecutan 0-100 km/j kepada 5.9 saat (berbanding 4.2 saat pada model M60i).

Apa yang pasti, sistem brek dan suspensi SUV berperisai ini telah dinaiktaraf untuk menampung penambahan berat badan yang telah disebutkan itu tadi.
 

VR6


Ciri yang dimuatkan dalam ruang kabin termasuklah skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah bersaiz 14.9 inci, kawalan iklum empat zon, serta tempat duduk sports yang dibaluti kulit Sensafin.

Sayang sekali, hanya empat orang sahaja yang boleh muat duduk di dalam SUV X5 Protection VR6 ini.

BMW turut menawarkan peralatan opsyen termasuklah sistem interkom, lampu mata arah LED pada jeriji dan belakang, antena radio bumbung, serta program latihan khas yang telah disusun untuk pemandu.

Produksi BMW X5 Protection VR6 ini akan mengambil tempat di kilang Spartanburg, North Carolina dengan penghantaran pertama dijadualkan pada Februari 2024.