BMW X3, X4 M Competition dilancarkan - 510 hp/600 Nm, bermula dari RM887k

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada dua buah model M8, BMW Malaysia turut membawa masuk dua buah model SUV pantas di bawah lencana M, iaitu BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition sebagai pelengkap kepada variasi model X di pasaran Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02


BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition didatangkan dengan nadi 3.0 liter enam silinder sebaris M TwinPower Turbo dengan angka output 510 kuasa kuda dan daya kilas 600 Nm yang masuk antara 2,600 rpm - 5,950 rpm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda xDrive menerusi transmisi Steptronic M lapan nisbah kelajuan dengan teknologi Drivelogic yang menawarkan tiga mod iaitu Efficient, Sport dan Sport Plus.

 

 


Prestasi pecutan 0-100 km/j pula mengambil masa 4.1 saat dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 250 km/j dengan pulangan bacaan penggunaan bahan api serendah 10.6 liter/100 km.

Casis X3 M Competition dan X4 M Competition telah dinaiktaraf dengan menggunakan komponen spesifik M seperti strut brace pada ruang enjin, damper adaptif, stabilizer, serta Active M Differential dan M Compound Brakes yang dibangunkan daripada bahan komposit untuk mengurangkan berat badan.

 


Ruang kokpit SUV pantas ini pula didatangkan dengan ambien ikonik M seperti kemasan gentian karbon, tali pinggang keledar M, pedal M, tempat duduk berventilasi dan menyokong tulang belakang, roda stereng M, paddle shifter, butang fungsi M Drive dan butang mula/berhenti berwarna merah.

Tombol gear M juga telah direka semula diikuti dengan tiga butang kawalan untuk enjin, penyerap hentak dan juga respons stereng.

Kedua-dua SUV M ini turut didatangkan dengan sistem terkini yang merangkumi paparan head-up dengan paparan spesifik M, sistem infotainmen 10.25 inci Control Display dengan pengawal iDrive atau BMW Gesture Control, serta ciri ConnectedDrive.

 


Selain daripada itu, antara ciri lain termasuklah sistem audio Harman Kardon keliling sembilan saluran dengan 16 pembesar suara dan amplifier 600W, slot pengecasan nirwayar dan ciri Driving Assistant Plus dan Parking Assitant Plus.

Dari segi praktikaliti, BMW X3 M Competition menawarkan ruang sebesar 550 liter dan boleh dinaikkan sehingga 1,600 liter, manakala BMW X4 M Competition pula menawarkan 525 liter yang boleh dinaikkan sehingga 1,430 liter - kedua-duanya apabila tempat duduk baris belakang dilipat.

BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition boleh didapati dalam layangan warna Alpine White, Black Sapphire, Donington Grey, Phytonic Blue, Sophisto Grey dan Toronto Red, dengan kemasan dalaman kulit Merino dalam warna hitam, Sakhir Orange atau Adelaide Grey.

 


Harga jualan bermula dari RM886,551.58 untuk model X3 M Competition manakala X4 M Competition pula bermula dari RM904,276.60 dan boleh didapati di kesemua pengedar BMW di seluruh negara bermula 14 Ogos 2020.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Tidak seperti model X3 dan X4 standard, kedua-dua X3 M dan X4 M kini didatangkan dengan enjin S58 3…