BMW X3 M50 xDrive dan X3 2025 diperkenal, rupa garang, petrol, diesel, hibrid

oleh Muhammad Md Tajudin|
BMW X3 M50 xDrive
BMW X3 M50 xDrive
Siri kenderaan utiliti sukan (SUV) merupakan pentas untuk BMW berkarya dengan lebih hebat.

Lebih banyak besi, permukaan besar dan saiz SUV itu sendiri membolehkan pereka BMW meluahkan apa yang dimahukannya.

Tidak cukup dengan SUV biasa, SUV jenis coupé pula melonjakkan lagi citarasa pereka BMW.

SUV atau Sports Activity Vehicle (SAV) menjadi kertas untuk pereka BMW menconteng jeriji buah pinggang yang besar, garisan badan dalam dan panjang.
 BMW X3 30e xDrive 2025

 

Apa yang terhad pada sedan, coupé dan hatchback menjadi bebas pada SUV. Terbaru BMW memperkenalkan X3 generasi keempat (G45) dan meneruskan warisan sejak 2003.

Perbezaan reka bentuk di antara generasi pertama dan keempat jauh berbeza ibarat orang dewasa menjadi remaja dan bukan sebaliknya.

X3 juga ibarat BMW XM yang lebih sederhana dan kecil. Seperti biasa BMW menawarkan varian sporti dan diwakili X3 M50 xDrive dan model X3 paling berkuasa.

X3 digerakkan rangkaian kuasa petrol dan diesel dan kacukan mild hybrid dan hibrid plug-in.

 

BMW X3 20 xDrive 2025

 

BMW X3 M50 xDrive (mild hybrid):

  • Model teratas dan X3 paling berkuasa
  • Enjin: 3.0 liter M TwinPower Turbo 6 silinder dipadan bersama teknologi mild hybrid 48V
  • Kotak gear: 8 kelajuan automatik Steptronic Sport
  • Pacuan: Semua roda pintar xDrive dengan pembeza disepadukan di dalam gandar belakang
  • Kuasa enjin: 381 hp @ 5,200 - 6,250 rpm, 540Nm @ 1,900 - 4,800 rpm
  • Motor elektrik: 13 kW/18 hp, 200Nm
  • Kuasa keseluruhan: 398 hp, 580Nm
  • Pecutan 0 - 100 km/j: 4.6 saat
  • Kelajuan tertinggi: 250 km/j
  • Fungsi Sport Boost (termasuk model dengan pakej M Sport)
  • Ampaian M Sport dengan stereng sport berubah (variable)
  • Brek M Sport
  • Rim M 20 inci
  • Gayaan badan M
  • Nyalaan kontur BMW Iconic Glow
  • Empat muncung ekzos sebagai lambang kuasa!
BMW X3 M50 xDrive 2025

 

BMW X3 30e xDrive (hibrid plug-in):

  • Enjin: 2.0 liter TwinPower Turbo 4 silinder dipadan bersama teknologi hibrid penuh (BMW eDrive)
  • Kotak gear: 8 kelajuan automatik Steptronic dengan penyepaduan motor elektrik
  • Pacuan: Semua roda pintar xDrive 
  • Kuasa enjin: 190 hp @ 4,400 - 6,500 rpm, 310Nm @ 1,500 - 4,000 rpm
  • Motor elektrik: 135 kW/184 hp @ 7,000 rpm, 250Nm @ 100 - 5,500 rpm
  • Kuasa keseluruhan: 299 hp, 450Nm
  • Pecutan 0 - 100 km/j: 6.2 saat
  • Jarak pemanduan elektrik: 81 - 90 km
  • Kelajuan tertinggi: 215 km/j, 140 km/j (elektrik)
  • Pengecasan AC 11 kW
BMW X3 30e xDrive

 

BMW X3 20 xDrive (mild hybrid):

  • Enjin: 2.0 liter TwinPower Turbo 4 silinder dipadan bersama teknologi mild hybrid 48V
  • Kotak gear: 8 kelajuan automatik Steptronic dengan penyepaduan motor elektrik
  • Pacuan: Semua roda pintar xDrive
  • Kuasa enjin: 190 hp @ 4,400 - 6,500 rpm, 310Nm @ 1,500 - 4,000 rpm
  • Motor elektrik: 13 kW/18 hp, 200Nm
  • Kuasa keseluruhan: 208 hp, 330Nm
  • Pecutan 0 - 100 km/j: 7.8 saat
  • Kelajuan tertinggi: 215 km/j

BMW X3 20d xDrive (diesel mild hybrid):

  • Enjin: 2.0 liter diesel TwinPower Turbo 4 silinder dipadan bersama teknologi mild hybrid 48V
  • Kotak gear: 8 kelajuan automatik Steptronic 
  • Pacuan: Semua roda pintar xDrive
  • Kuasa enjin: 197 hp @ 4,000 rpm, 400Nm @ 1,500 - 2,750 rpm
  • Motor elektrik: 8 kW/11 hp, 25Nm
  • Kuasa keseluruhan: 197 hp, 400Nm
  • Pecutan 0 - 100 km/j: 7.7 saat
  • Kelajuan tertinggi: 215 km/j
BMW X3 20 xDrive 2025

 

Dari segi saiz, X3 G45 lebih besar berbanding sebelumnya. Ukuran panjang 4,755 milimeter (mm) atau bertambah 34 mm dan 29 mm lebih lebar kepada 1,920 mm.

Ketinggian badan pula lebih rendah dengan pengurangan 25 mm kepada 1,660 mm. Trek depan dan belakang bertambah 16 mm dan 45 mm.

Jarak roda berbeza satu milimeter kepada 2,865 mm dan perubahan saiz keseluruhan menampakkan X3 sebagai SAV yang berkuasa dan sporti.

Ukuran rim bergantung kepada varian, sama ada 18 inci atau 19 inci dan pilihan 20 inci dan 21 inci. 

 

BMW X3 M50 xDrive 2025

 

Bahagian dalam X3 juga membawa gaya robotik dan X3 M50 xDrive tampil meriah. Reka bentuk papan pemuka BMW betul-betul menjalani transformasi.

BMW Curved Display menggabungkan skrin 12.3 inci dan 14.9 inci pada bahagian tengah. Seperti model terkini lain, X3 menggunakan BMW Operating System 9.

Dari segi muatan, pemilik boleh memanfaatkan ruang 570 liter sehingga 1,700 liter dengan kerusi dibaringkan.

X3 30e xDrive berbeza dengan muatan 460 liter sehingga 1,600 liter.

 

BMW X3 M50 xDrive 2025

 

BMW memaklumkan X3 mempunyai perbezaan yang nyata dari segi kelincahan, kestabilan di selekoh dan keselesaan perjalanan jauh berbanding dahulu.

Badan yang lebih ringan dan tegar serta trek lebih lebar memainkan peranan selain perkakasan casis bermutu tinggi dan sistem kawalan yang ditala khas.

BMW turut memberi perhatian kepada perkakasan ampaian lain.

Bagi merasa lebih nikmat, BMW menawarkan pilihan ampaian boleh suai, ampaian M Sport, stereng sport dan brek M Sport.

 

BMW X3 2025

 

Untuk teknologi bantuan pemanduan, X3 dilengkapi Amaran Pelanggaran Depan dan Amaran Tersasar Lorong dengan Maklumat Had Kelajuan dan pelbagai lagi ciri asas.

X3 baharu akan dipasang di kilang Kumpulan BMW Spartanburg di Amerika Syarikat dan kilang Rosslyn di Afrika Selatan.

Pelancaran di Eropah dan Amerika Syarikat dijadual pada suku keempat 2024 sebelum menyusul ke pasaran lain bermula Januari 2025.

Berdasarkan model terdahulu, X3 bukan asing di jalan raya tempatan dan sekiranya dibawa kelak bayangkan si bengis ini di belakang anda!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

BMW X3 M50 xDrive 2025