BMW R20 concept, Big Boxer 2.0 liter, model 'custom' sebuah sahaja

oleh Muhammad Md Tajudin|
BMW R20 concept
BMW R20 concept
Ada pembaca geram melihat enjin Boxer BMW yang melintang dan terkeluar dari sisi motosikal?

Begitulah identiti mototsikal BMW sejak sekian lama. BMW nampaknya terbuka dalam dunia ubah suai dan terbaru mempertontonkan R20 Concept di Itali.

Enjin Big Boxer dibesarkan kepada 2.0 liter dan banyak perkakasan diubah.

Dibuat dalam warna merah jambu, terasa pelik apabila projek ini datangnya dari BMW dan bukan bengkel persendirian.
BMW R20 concept 2024

 

BMW R20 Concept dipertontonkan di Tasik Como, Itali dan nama R20 mengingatkan kepada cruiser R18.

Dari segi sejarah, BMW memang memiliki model R 20 dengan enjin 192cc dan dikeluarkan dari tahun 1938 sehingga 1940.

Jika dikatakan R20 Concept adalah versi ubah suai R18, casis R20 telah diubah sepenuhnya dan menggunakan rangka utama 'double loop' daripada keluli krom-molibdenum.

BMW Paralever (lengan ayun dan pemacu) dibuat dalam bentuk dua lengan baharu.

 

BMW R20 concept 2024

 

Lengan ayun dibuat daripada keluli krom-molibdenum dan topang Paralever daripada aluminium.

Kinematik perkakasan tersebut direka supaya daya kilas pacuan seimbang sepenuhnya. Aci pacu yang terdedah secara konsepnya diambil dari R18.

BMW Motorrad memaklumkan perkakasan itu dipendekkan untuk disesuaikan dengan R20 concept. 

Penyerap hentak Öhlins Blackline boleh laras dipasang pada bahagian depan dan belakang.

 

BMW R20 concept 2024

 

Angkup brek dari ISR dengan enam omboh di depan dan empat omboh di belakang.

Roda berjejari depan saiz 17 inci dengan tayar 120/70 manakala roda 17 x 6.25 inci di belakang dipadan bersama tayar 200/55.

Menggerakkan atau meledakkan R20 concept ialah enjin Big Boxer 2,000cc dan menggunakan penutup kepala silinder dan pelindung rantai enjin baharu.

 

BMW R20 concept 2024

 

BMW Motorrad juga membangunkan penyejuk enjin baharu dan dibuat untuk menyorokkan sebahagian daripada paip minyak.

Dari sisi, bukan sahaja enjin nampak seketul, ekzos atau seperti batang paip juga menyerlah selain mengundang untuk mendengar jeritannya.

Dari segi rekaan, bahagian belakang dipendekkan untuk menonjolkan gaya ringkas dan kuasa R20 concept.

Tangki aluminum dalam warna merah jambu atau dipanggil hotter than pink adalah dari era 70-an.

 

BMW R20 concept 2024

 

Lampu besar menggunakan bingkai aluminium yang dibuat daripada cetakan 3D dan disekalikan dengan lampu nyalaan siang.

Lampu belakang ditanam di belakang pelana yang dibalut Alcantara dan kulit.

R20 concept sebenarnya adalah 'projek gila' dan sekali lagi tidak disangka ini adalah projek BMW Motorrad.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

BMW R20 concept 2024