BMW R 1300 RT kini di Malaysia - anggaran sekitar RM167k

oleh Firdaus Razani|
BMW Motorrad Malaysia secara rasminya memperkenalkan model terbaharu dalam barisan touring premium mereka, iaitu BMW R 1300 RT.

Model ini hadir dengan penampilan dan keupayaan serba baharu, menjadikannya penanda aras dalam segmen motosikal touring.

Menggerakkan jentera ini ialah enjin boxer dua silinder paling berkuasa yang pernah dibina oleh BMW Motorrad, unit 1,300cc yang mampu menjana 145 hp pada 7,750 rpm dan 149 Nm tork pada 6,500 rpm, dengan redline setinggi 9,000 rpm.

 

bmw

 

Lebih mengagumkan, semua kuasa ini disampaikan dengan lancar dan cekap menerusi teknologi BMW ShiftCam yang menyesuaikan bukaan injap mengikut gaya tunggangan, sama ada pemanduan santai atau lebih agresif.

Ini membolehkan penunggang menikmati prestasi tinggi tanpa mengorbankan penjimatan bahan api.

Dari segi visual, R 1300 RT baharu menampilkan garis reka bentuk yang lebih tajam, tangki yang direndahkan, serta kemasan hadapan yang lebih kompak, semuanya menyumbang kepada rupa yang lebih dinamik dan aerodinamik.

 

bmw

 

BMW R 1300 RT baharu ditawarkan dengan tiga pilihan varian, Standard (Alpine White), Triple Black (Blackstorm Metallic) dan Impulse (Racing Blue Metallic), masing-masing menampilkan keunikan tersendiri dari aspek penampilan dan kelengkapan.

Misalnya, varian Triple Black tampil lebih sofistikated dengan ekzos krom gelap dan cermin angin tinggi, manakala varian Impulse pula memberikan sentuhan sporty menerusi rekaan rim khas, deflektor slipstream dan cermin angin pendek.

Tidak cukup dengan rupa luaran yang mantap, BMW juga melengkapkan R 1300 RT dengan sistem suspensi EVO Telelever dan EVO Paralever yang telah diperbaharui.

 

bmw

 

Kedua-dua sistem ini memastikan kestabilan maksimum ketika membrek atau mengambil selekoh, di samping meningkatkan kecekapan pengendalian di pelbagai permukaan jalan.

Malah, teknologi Dynamic Chassis Adaption (DCA) turut diperkenalkan, ia membolehkan penunggang memilih tetapan suspensi mengikut mod tunggangan yang dipilih.

Selaras dengan reputasinya sebagai sebuah jentera touring mewah, R 1300 RT hadir dengan senarai lengkap ciri keselamatan dan bantuan penunggang.

 

bmw

 

Antaranya ialah Dynamic Traction Control (DTC), Engine Drag Torque Control (MSR), dan Integral ABS Pro, semuanya berfungsi bagi memastikan cengkaman maksimum dan kawalan ketika membrek di selekoh atau permukaan licin.

Lebih menarik, sistem bantuan pemanduan radar juga ditawarkan termasuk Active Cruise Control (ACC) dan Front Collision Warning (FCW), menjadikan perjalanan jauh lebih selamat dan santai.

BMW R 1300 RT ini didatangkan dengan skrin TFT warna penuh bersaiz 10.25 inci yang menyokong paparan penuh atau dua bahagian.

 

bmw

 

Ia bukan sahaja memaparkan kelajuan dan navigasi, malah boleh dihubungkan dengan peranti pintar melalui BMW Motorrad Connected App untuk perancangan laluan, pemantauan tunggangan dan kemas kini masa nyata.

Untuk kawalan pantas, terdapat butang khas untuk fungsi seperti pemanas cengkaman dan tempat duduk.

Sistem audio juga dipertingkat, dengan versi Audio Pro yang dilengkapi pembesar suara berkualiti tinggi, tweeter berkubah emas dan saluran audio empat arah untuk pengalaman audio lebih imersif.

 

bmw

 

Menambah lagi eksklusiviti, BMW Motorrad Malaysia turut memperkenalkan dua varian edisi terhad, masing-masing terhad kepada 5 unit sahaja di seluruh negara.

Varian Triple Black Limited Edition tampil garang dengan kemasan gelap dan sistem keselamatan penuh, manakala Impulse Limited Edition pula lebih ekspresif dan sporty.

Kedua-duanya lengkap dengan Comfort Package, termasuk sistem kunci tengah, topcase boleh laras, pemanas tempat duduk dan sistem audio premium.

BMW R 1300 RT bukan sekadar naik taraf kecil-kecilan, ia adalah evolusi besar yang memperkukuh kedudukan model ini sebagai motosikal touring terbaik dalam kelasnya.

 

bmw

 

Dengan reka bentuk baharu, prestasi hebat, teknologi canggih dan keselesaan bertaraf premium, model ini bukan sahaja memenuhi kehendak penunggang moden, malah menjadikan setiap perjalanan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Harga jualan anggaran bagi setiap varian dan model edisi khas adalah seperti berikut;

  • Standard - RM167,000
  • Triple Black - RM170,000
  • Impulse - RM173,000
  • Triple Black Limited Edition - RM177,000
  • Impulse Limited Edition - RM180,000