Dalam projek istimewa ini, Philipp Ludwig bertindak sebagai pengurus projek, manakala Andreas Martin sebagai pereka. Theresa Stukenbrock sebagai pereka warna dan grafik.
Paul Summerer dan Thomas Becker sebagai pembina prototaip dan mereka semua membawa pengalaman dan dedikasi mereka kepada projek ini.
Reka bentuk Titan menggabungkan elemen penggayaan asas dari model BMW R 1300 R baharu dan diterjemahkan sebagai jentera pecut (sprint racer).
Garisan karakteristik tangki dan reraut BMW R 1300 R dapat dilihat pada reka bentuk monokok yang lazimnya digunakan pada jentera perlumbaan.
Panel salur udara yang menonjol dari model asal turut menyumbang kepada gaya ekstrem Titan.
Secara visual, jisim jentera ini diletakkan pada roda hadapan untuk memastikan roda sentiasa mencengkam permukaan jalan selama mungkin semasa pecutan awal.
Perkadaran keseluruhan motosikal ini dibina dengan padat di sekitar watak utama iaitu enjin boxer 1,300cc.
Titan seperti haiwan pemangsa yang sabar menanti untuk memecut walaupun dalam keadaan pegun.
Grafik motosikal turut menyerlah dan diserikan dengan riasan biru metalik.
Akrapovic, rakan kongsi lama BMW Motorrad memainkan peranan penting dalam pembangunan BMW R 1300 R Titan.
Kerjasama ini membolehkan pasukan mereka bentuk sistem ekzos titanium Akrapovic yang komprehensif.
Sistem ekzos bukan sahaja meningkatkan karakter berkuasa secara visual tetapi juga dari segi akustik.
Ekzos keluar dari dua silinder, bercantum di bawah motosikal dan berakhir dengan saluran keluar dua muncung gaya boxer.
BMW R 1300 R mempunyai profil rendah di atas jalan, disokong oleh casis Wilbers yang dihasilkan khas berserta lengan ayun panjang.
Casis ini ditala secara optimum bagi memastikan tiada pembaziran prestasi daripada enjin
Bukan sahaja saluran Akrapovic yang menonjol, sebuah botol NOS ditempatkan di antara dua penyenyap ekzos titanium.
Ledakan kuasa hanya melalui sentuhan butang untuk memecut ke garisan penamat. Penukaran gear berlaku dengan tepat.
Tuil brek Magura HC3 pula membantu mengawal tenaga yang dilepaskan selepas garisan penamat sehingga jentera berhenti sepenuhnya.
Tempat letak kaki yang memanjang jauh ke belakang memberikan sokongan yang diperlukan oleh Philipp semasa perlumbaan pecut.
BMW R 1300 R Titan bukan sekadar sebuah motosikal, ia adalah manifestasi keghairahan dan ketepatan kejuruteraan BMW Motorrad dalam setiap perincian.
Penulis: Muhammad Md Tajudin