BMW R 1300 GS 2024 - lebih ringan, lebih berkuasa!

oleh Mohamad Hanif|
BMW Motorrad akhirnya secara rasmi memperlihatkan jentera adventure R 1300 GS 2024 dengan membawakan beberapa teknologi baharu, casis lebih ringan 12 kg dan paling penting, lebih berkuasa.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tidak seperti model terdahulu, R 1300 GS 2024 kini membawakan nadi boxer yang paling berkuasa - 145 hp @ 7,750 rpm dan daya kilas 149 Nm @ 6,500 rpm.

Peningkatan ini datangnya daripada penggunaan dimensi silinder yang lebih besar, dibantu dengan ruang bore yang lebih besar dan sesondol baharu.
 

R 1300


Enjin ini bukan sahaja lebih lincah, ia juga menawarkan kadar penggunaan bahan api yang sama jimat dengan R 1250 GS, kurang emisi, dan lebih lancar.

Selain itu, kedudukan kotak gear telah diubah ke bawah enjin, di mana ia turut merendahkan lagi titik graviti untuk pengendalian yang lebih baik, serta mengurangkan sehingga 6.49 kg berat enjin secara keseluruhan.

BMW turut menawarkan opsyen penukaran gear Shift Assistant Pro yang lebih jitu dan telus.
 

R


Bukan itu sahaja, R 1300 GS ini turut menggunakan tetapan suspensi baharu EVO Telelever di hadapan dan sistem EVO Paralever di bahagian belakang,

Ciri Dynamic Suspension Adjustment (DSA) ditawarkan sebagai opsyen yang menawarkan larasan dinamik bergantung kepada mod tunggangan, keadaan tunggangan semasa dan aksi yang dilakukan.

Untuk disesuaikan dengan pelbagai fizikal penunggang, BMW R 1300 GS menawarkan larasan ketinggian adapatif (tinggi pelana asal 850 mm), bar hendal yang boleh ditinggikan sehingga 30 mm, serta sistem suspensi sports yang mampu menambah 20 mm jarak pergerakan roda.
 

R


Secara standard, terdapat empat mod tunggangan, iaitu Enduro, Rain, Road, dan Eco, di mana mod Enduro lebih dikhususkan untuk pengalaman tunggangan di laluan off-road.

Perubahan besar yang dibuat pada R 1300 GS ini ialah rekaan lampu yang lebih moden, menghilangkan terus identiti lampu tidak simetri pada model terdahulu.

Sistem pencahayaan LED matriks ditawarkan sebagai ciri standard, dengan dua unit LED untuk suluhan rendah dan tinggi, serta empat unit LED tambahan sebagai lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk X.
 

R


Fungsi Headlight Pro pula menawarkan suluhan adaptif bergantung kepada arah motosikal itu sedang bergerak, dan boleh ditambah kepada motosikal R 1300 GS sebagai ciri opsyen.

Sistem brek terdiri daripada angkup empat omboh di hadapan dan angkup dua omboh di bahagian belakang, dihubungkan dengan BMW Motorrad Full Integral ABS Pro.

Menerusi tetapan ABS Pro, sistem ABS untuk bahagian belakang boleh dimatikan, sementara Dynamic Brake Control pula boleh menghalang pulasan pendikit yang tidak disengajakan untuk memaksimumkan kuasa brek pada roda belakang.
 

R


Segala info boleh diakses menerusi skrin paparan TFT bersaiz 6.5 inci berwarna penuh yang menawarkan fungsi navigasi, dan boleh dihubungkan kepada peranti pintar menerusi sambungan Bluetooth.

Ciri lain termasuklah sistem tanpa kunci (keyless Ride), soket pengecasan USB, pemanas pendikit, serta pelindung tangan yang lengkap dengan lampu indikasi membelok.

BMW R 1300 GS baharu ini menawarkan opsyen Riding Assistant, yang merangkumi komponen berikut:
• Kawalan Jelajah Aktif (ACC)
• Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
• Amaran Penukaran Lorong (LCW)
 

R


Terdapat tiga varian yang boleh dipilih, termasuklah Triple Black, GS Trophy dan Option 719 Tramuntana.