Kini, BMW dilapor memulakan produksi unit sel bahan api bertempat di pusat kompeten hidrogen yang terletak di Munich, Jerman.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, model SUV BMW iX5 Hydrogen Concept yang diperlihatkan pada tahun lalu dijangka akan memasuki fasa produksi menjelang akhir tahun ini untuk tujuan demonstrasi dan juga ujian.
Selain daripada komponen wajib pek bateri, iX5 Hydrogen itu akan menampilkan unit trenkuasa sel bahan api hidrogen yang dijangka mampu menjadikan aspek pemanduan SUV yang unik di dalam segmen premium.
Menurut pengerusi lembaga pengurusan BMW, Oliver Zipse menjelaskan, "sebagai sebuah sumber tenaga yang versatil, hidrogen memainkan peranan penting dalam usaha untuk mencapai neutraliti iklim.
"Kami berpendapat, kenderaan berkuasa hidrogen adalah amat ideal untuk diposisikan secara teknologi bersama-sama dengan kenderaan elektrik bateri untuk melengkapkan gambaran sebenar mobiliti elektrik.
Menurut BMW, sistem sel bahan api itu dibangunkan dalam dua langkah, di mana timbunan sel bahan api akan dipasang terlebih dahulu daripada sel bahan api individu yang diperoleh daripada Toyota.
Kemudian, komponen-komponen lain dipasang untuk melengkapkan sistem sel bahan api tersebut yang dilakukan secara dalaman di BMW Group Plant Landshut.
Ini sekaligus mengesahkan laporan terdahulu berkenaan kerjasama antara kedua-dua belah pihak (BMW & Toyota) dalam usaha untuk membangunkan dan menghasilkan kenderaan sel bahan api secara besar-besaran.
Baca: BMW iX5 Hydrogen Concept