BMW Motorrad perkenal skuter elektrik urban - X2City

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

BMW kini mahu menyasarkan golongan pembeli motosikal keluaran mereka daripada kalangan anak muda dan untuk itu, BMW hadir dengan sebuah produk skuter elektrik yang dinamakan sebagai X2City (tidak dikelirukan dengan SUV BMW X2).

Skuter elektrik X2City ini mampu untuk menjadi mod pengangkutan yang sangat ideal untuk kegunaan di dalam bandar, malah sangat sesuai untuk digunakan oleh para pekerja mahupun pelajar universiti. 

Menggunakan motor elektrik yang sangat kecil, skuter X2City ini mampu mencapai kelajuan sekitar 20 km/j sahaja. 
 


Namun, untuk kelancaran penggunaan, X2City hadir dengan putaran pendikit minyak yang memberikan penambahan kelajuan secara beransur-ansur, bermula dari 8, 12, 16, 18 dan 20 km/j kelajuan maksimum.

Bateri lithium-ion berkapasiti 408 kWh yang diletakkan pada dasar skuter ini mampu memberikan jarak penggunaan sekitar 20-30 km sahaja bergantung kepada kadar penggunaan. 

Ia mampu dicas menggunakan slot kuasa standard di rumah dalam masa 2.5 jam sahaja.
 


Slot pengecasan USB juga turut disertakan bagi memudahkan para pengguna mengecas peranti mereka ketika sedang menunggang skuter ini. 

Dengan harga yang agak premium, sekitar €2,399 (RM11,257++), BMW X2City ini didatangkan dengan kemasan berwarna biru, kelabu, merah ataupun hitam. 
 


Penjualan skuter elektrik ini akan bermula pada minggu hadapan di Eropah, manakala insurans bagi 2,000 unit skuter elektrik pertama yang berjaya dijual akan ditanggung sepenuhnya oleh BMW Motorrad untuk jangka masa setahun.