Dijual pada harga bermula dari RM278,800.00, BMW i3s kini boleh didapati di kesemua wakil pengedar BMW i yang bertauliah lengkap dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, program servis berjadual percuma dan program waranti tayar BMW.
BMW i3s ini membawakan teknologi dan reka bentuk yang lebih hijau, selain lebih berkuasa tanpa mencemarkan alam sekitar, meliputi kira-kira 95 peratus daripada bahan yang boleh dikitar semula.
Walaupun menggunakan sumber yang disebutkan, ia tidak menjejaskan penampilan premium yang ada pada BMW i3s.
Ini boleh dilihat menerusi penggunaan plastik kitar semula, gentian natural serta kayu eucalyptus berliang, manakala sel penumpang pula diperbuat daripada polimer diperkukuh gentian karbon (CFRP) yang ringan dan kukuh tanpa mengorbankan keluasan yang diingini.
Penggunaan upholsteri kulit Dark Truffle Leather Vernasca turut disulami dengan material bumbung berwarna kelabu Carum Spice Grey dan stereng balutan kulit premium.
Sistem operasi iDrive membolehkan pemandu mengawal pelbagai aspek dan fungsi kenderaan, hiburan, komunikasi dan sistem navigasi yang dipaparkan menerusi skrin bersaiz 10.25 inci dan paparan instrumen TFT 7.5 inci.
Untuk proses pengecasan, BMW i Wallbox berkuasa 11 kW mampu mengecas BMW i3s selama tiga jam membekalkan kuasa yang cukup untuk berjalan sejauh 180 km.
Dengan sambungan Wi-Fi, BMW i Wallbox boleh diakses fungsinya menerusi mana-mana peranti pintar, selain membolehkan pengguna mengakses tawaran yang hadir menerusi BMW Digital Charging Service.
BMW i3s dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 184 kuasa kuda dan daya kilas 270 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik kelajuan tunggal, memberikan pecutan 0-100 km/j sepantas 6.9 saat sahaja.
Pek bateri lithium ion yang diposisikan rendah di lantai BMW i3s ini mampu memberikan julat jarak operasi sejauh 260 km berdasarkan kitaran NEDC, dengan kelajuan maksimum dicatatkan 160 km/j.
Bagi memberikan prestasi pemanduan yang lebih baik, BMW turut menghadirkan sistem suspensi dengan mod SPORT dibantu dengan ciri-ciri keselamatan seperti:
- Kawalan Kestabilan Dinamik
- Kawalan Cengkaman Dinamik
- Kawalan Brek Membelok
- Kawalan Brek Dinamik
- Sistem Brek Anti-Kunci
- Bantuan Brek
Driving Assistant Plus pula merangkumi pelbagai ciri-ciri yang sangat berguna terutama ketika di dalam trafik seperti:
- Kawalan Jarak Parkir
- Kawalan Pelayaran Aktif
- Amaran Pelanggaran dan Pengesan Pejalan Kaki
- Fungsi Brek dalam Bandar
- Bantuan Kesesakan Trafik
Pemilik BMW i3s boleh menikmati pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia, dan ia merangkumi:
• Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
• Program Waranti Tayar Bertempoh 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran servis ‘Run Flat Tyre’
• Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
• Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ - BMW White Card
• Servis Dalam Talian oleh BMW