BMW M8 2020 dilancarkan - Coupé & Gran Coupé, 600 hp/750 Nm, dari RM1.45 juta!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah pengenalan model asas di dalam keluarga 8 Series menerusi model M850i xDrive, serta dua model Gran Coupe 840i M Sport dan 850i xDrive, BMW membawakan dua buah jentera baharu menggunakan lencana berprestasi tinggi M, iaitu BMW M8 Coupé dan BMW M8 Gran Coupé.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kedua-dua model tersebut hadir dengan enjin S63 bentangan V8 berkapasiti 4.4 liter yang mampu menghasilkan 600 kuasa kuda dan 750 Nm daya kilas yang dipadankan dengan transmisi ZF automatik lapan nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam masa 3.3 saat sahaja manakala kelajuan tertinggi dihadkan kepada 250 km/j.

Sebagai model M, M8 Coupé dan BMW M8 Gran Coupé didatangkan dengan ciri-ciri tersendiri dari M, seperti contoh apron hadapan, mesh dekorasi pada gril, double slats serta designasi M8.

 


Bahagian luaran turut menampilkan ciri seperti cermin sisi yang menampilkan rekaan karakteristik twin-stalk M, spoiler belakang M, diffuser belakang spesifik untuk M8, dan sistem ekzos dengan tip berkembar yang dilayangkan warna krom.

Selain daripada itu, kedua-dua model didatangkan dengan fungsi soft-close pada pintu, serta bumbung yang diperbuat daripada plastik diperkukuh gentian karbon (CFRP) yang mampu meringkankan kenderaan selain merendahkan titik graviti kereta.

Mengakhiri kemasan tersebut adalah rim aloi M 20 inci Double-spoke style 810 M Bicolour.

 


Memasuki ruang kokpit, ia menampilkan ciri posisi tempat duduk yang rendah dan sporti, dilengkapi dengan ciri tetapan boleh laras, fungsi memori, serta kehadiran logo M8 yang bercahaya.

BMW M8 Coupe menawarkan ruang kargo sebesar 420 liter dengan kerusi baris kedua boleh dilipat pada nisbah 50:50, manakala BMW M8 Gran Coupe pula menawarkan ruang sehingga 440 liter dengan tempat duduk belakang boleh dilipat 40:20:40.

Antara ciri moden termasuklah sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional yang dioperasikan oleh BMW Operating System 7.0, terdiri daripada skein 12.3 inci, skrin Control Display 10.25 inci, paparan Head-Up berwarna penuh, serta sistem kawalan BMW Intelligent Personal Assistant.

Sistem audio pula adalah daripada Harman Kardon dengan 16 pembesar suara keliling serta bantuan amplifier 464-watt.

 


Terdapat sehingga tiga mod tetapan untuk enjin V8, termasuklah EFFICIENT, SPORT dan SPORT PLUS, dan pemandu juga boleh menetapkan alunan bunyi yang terhasil oleh sistem ekzos menerusi butang Sound Control yang terdapat di sebelah tombol gear.

Sistem suspensi Active M pula menawarkan tetapan dinamik seperti COMFORT, SPORT, dan SPORT+, dibantu dengan ciri M-Spesific Variable Damper Control dan sistem stereng M Servotronic.

Manakala butang pemilihan M Mode pada konsol tengah pula boleh digunakan untuk mengawal sistem bantuan pemanduan serta kandungan yang boleh dipaparkan pada skrin kluster instrumen dan paparan head-up, terdiri daripada dua paparan iaitu ROAD dan SPORT.

Ciri BMW ConnectedDrive menawarkan pelbagai fungsi moden seperti Remote Services, Teleservices, Intelligent Emergency Call, Apple CarPlay, serta Concierge Service.

 


CIri Digital Key yang menggunakan peranti Samsung untuk mengunci dan memulakan operasi kenderaan turut ditawarkan sebagai sebahagian daripada Comfort Access, BMW Driver Recorder dan Remote Software Upgrade untuk kemaskini perisian over-the-air.

Tidak ketinggalan, ciri keselamatan BMW Personal CoPilot turut dimuatkan pada BMW M8 Coupe dan Gran Coupe yang merangkumi ciri seperti:

  • Kawalan Pelayaran Aktif dengan fungsi Mula-Berhenti
  • Bantuan Kekal Laluan
  • Perlindungan Pelanggaran Sisi
  • Bantuan Penukaran Laluan
  • Amaran Lintasan Trafik
  • Bantuan Mengundur

 


Terdapat sehingga tujuh warna menarik ditawarkan termasuk Alpine White, Brands Hatch Grey, Marina Bay Blue, Motegi Red, Black Sapphire, Donington Grey dan Barcelona Blue, diikuti dengan kemasan kulit Merino dalam warna hitam atau Silverstone.

Selain daripada itu, terdapat warna khas menerusi BMW Individual, Frozen Bluestone yang dikhususkan satu unit sahaja untuk pasaran Malaysia dengan harga tambahan sebanyak RM30,000.

Harga jualan pula bermula dari RM1,452,960.88 untuk model Coupe sehingga RM1,455,145.25 untuk model Gran Coupe dan boleh didapati di kesemua pengedar BMW bermula 14 Ogos ini.

Para pelanggan juga boleh menempah secara dalam talian di https://www.shop.bmw.com.my/ dengan wang tempahan sebanyak RM5,000 dan berpeluang untuk membawa pulang sebuah BMW i8 Coupe.

Antara yang terdapat di Secret Garage @ M Town ini adalah promosi khusus untuk pembeli pertama yang menawarkan diskaun untuk model-model berikut:

  • BMW M2 Competition - diskaun RM25,000
  • BMW M4 Coupe - diskaun RM45,000
  • BMW M5 Sedan - diskaun RM70,000
  • BMW M850i xDrive Coupe - diskaun RM75,000

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Jika tahun lalu, BMW M5 dijadikan sebagai Safety Car rasmi untuk MotoGP, tahun ini BMW membuat…