BMW M5 CS 2022 - 627 kuasa kuda, 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat!!

oleh Mohamad Hanif|
Tahun lalu, kita telah pun dihidangkan dengan versi kemaskini terhadap sedan pantas BMW M5 2021 dan untuk melengkapkan lagi keluarga M5, BMW M telah pun selesai melancarkan BMW M5 CS 2022.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Disifatkan sebagai kereta produksi yang paling berkuasa dan paling pantas pernah dihasilkan, BMW M5 CS dikuasakan oleh enjin bentangan V8 4.4 liter turbo berkembar yang mampu menjana 627 kuasa kuda dan 750 Nm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda dengan bias kepada gandar belakang, serta sistem transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

 


Padanan trenkuasa tersebut membenarkan pecutan 0-96 km/j dicapai dalam tempoh 2.9 saat, 0.2 saat lebih pantas berbanding sedan M5 Competition, sementara kelajuan tertinggi pula dihadkan kepada 306 km/j.

Sama seperti M5 standard, M5 CS 2022 menampilkan ciri seperti Active M Differential dan pilihan mod pacuan yang terdiri daripada 4WD, 4WD Sport serta mod pacuan roda belakang 2WD.

Tidak cukup dengan itu, BMW M5 CS hadir dengan tambahan ciri seperti talaan kepada spring supaya lebih rendah, bar anti oleng, cagak enjin yang lebih tegar, sistem Dynamic Damper Control, serta tayar Pirelli P Zero Corsa.

 


Namun, rahsia disebalik pecutan pantas itu adalah penggunaan bahan plastik diperkukuh gentian karbon pada beberapa bahagian seperti hud, bumbung, splitter hadapan, pelindung cermin sisi, diffuser dan spoiler belakang, selain membuang bahan penyerap bunyi bagi mengurangkan lagi beban tersedia.

Secara tidak langsung, BMW M5 CS ini memiliki berat kurang 104 kg berbanding M5 Competition!

 


Dari segi luaran, kereta ini boleh dikesan memakai elemen emas gangsa pada bahagian seperti gril hadapan, serta rim 20 inci yang melindungi sistem brek seramik karbon dan angkup brek merah atau emas.

Jika anda perasan, lampu nyalaan siang LED asal M5 CS ini telah diberikan elemen inspirasi perlumbaan dengan iluminasi berwarna kuning.

 


Sementara di dalam ruang kabin pula menempatkan roda stereng Alcantara M, paddle shifter gentian karbon, tali pinggang keledar merah M, headliner Alcantara, tempat duduk hadapan daripada gentian karbon dengan pemanas terbina dan logo M5 beriluminasi, dibaluti kulit hitam Merino serta aksen dan jahitan kontras merah.

Di bahagian perehat kepala pula menampilkan logo grafik peta litar lumba terkenal Nurburgring.

Sayang sekali, hanya dua orang sahaja dibenarkan duduk pada baris kedua disebabkan BMW memasang tempat duduk individu di bahagian tersebut.

 


Antara kelengkapan standard lain termasuklah skrin berkembar bersaiz 12.3 inci, sistem kawalan iklim empat zon automatik, sistem pencahayaan ambien, pengecasan peranti pintar nirwayar dan sistem audio daripada Harman Kardon.

Harga jualan di Jerman bermula dari €180,400 (RM883,652).