BMW M5 2021 - sedan pantas berkuasa 600 PS, 750 Nm

oleh Mohamad Hanif|
Selepas pelancaran rasmi model facelift 5-Series, BMW tidak ketinggalan untuk memperlihatkan versi terbaharu kepada sedan pantas M5 2021.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seperti yang terdapat pada model standard 5 Series, BMW M5 2021 turut membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik seperti rekaan lampu yang diperbaharui, rekaan bampar bersifat dramatik dan lebih agresif, serta lampu belakang berbentuk tiga dimensi.

 

 


Terdapat dua layangan warna baharu diberikan pada model sedan M5 ini iaitu Brands Hatch Grey dan Motegi Red Metallic, serta penampilan rim bersaiz 20 inci yang diperoleh daripada model M8.

Sementara ruang kabin juga turut membawakan rekaan kokpit yang serupa, dengan kehadiran sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci yang menawarkan sambungan Android Auto dan navigasi, konsol tengah yang menampilkan butang fungsi untuk tetapan kenderaan dan juga mod M.

 


Namun, disebalik perubahan tersebut, nadi yang dibawakan masih lagi kekal dengan enjin bentangan V8 4.4 liter turbo berkembar yang mampu menjana 592 kuasa kuda dan 750 Nm yang digandingkan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi sistem pacuan semua roda dengan mod 2WD, 4WD dan 4WD Sport, membenarkan pecutan sepantas 3.4 saat dari 0-100 km/j.

 


Bagi mereka yang masih gilakan kuasa, terdapat model M5 Competition yang menawarkan kuasa sekitar 617 hp/750 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j yang lebih pantas iaitu 3.3 saat.

Pun begitu, kedua-dua model M5 dan M5 Competition dihadkan kelajuan tertinggi kepada 250 km/j sahaja.

Tidak terhenti setakat itu, pakej opsyen M Driver mampu menaikkan had laju tersebut kepada 305 km/j sekiranya anda mahukan.

 


Khusus untuk M5 Competition, para jurutera telah menala kembali sistem suspensi dengan menampilkan penyerap hentak baharu serta sistem kawalan damper yang telah dikalibrasi bagi menawarkan kadar keselesaan ketika pemanduan berkelajuan tinggi atas lebuhraya, serta keadaan permukaan jalan yang tidak rata.

Model M5 baharu ini akan dilancarkan secara rasmi pada Ogos nanti dengan harga jualan bermula dari €120,900 (RM584,455) untuk model M5 dan €129,900 (RM627,963) untuk model M5 Competition.

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin mengecil mungkin satu halangan yang sukar, dan…
Berita Global
Di Athens, Greece, seorang pengguna FB Stelius Trantalidis (seperti yang dilaporkan oleh Carscoops…
Pelancaran
BMW i4 M50 2022 BMW i4 M50 merupakan kenderaan elektrik berlogokan M yang pertama, dan ia…