BMW M4 CSL 2023 - coupe pantas 543 hp, 0-100 kmsj 3.6 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Model eksklusif BMW M4 CSL 2023 kini rasmi muncul bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-50 jenama ikonik tersebut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dibangunkan berdasarkan model M4 Competition, BMW M4 CSL menerima beberapa penambahbaikan bagi menjadikannya model produksi bersiri terpantas di Litar Nurburgring (7:20.2 minit), dan hanya 1,000 unit sahaja yang akan dihasilkan untuk satu dunia.

Rekaan asal BMW M4 itu telah dioptimasikan bagi memaksimumkan aspek penyejukan selain mampu menjana daya turun yang diperlukan.
 

M4 CSL


Dari segi kuasa, BMW M4 CSL hadir dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan 542 hp (naik 40 hp berbanding model Competition), daya kilas 649 Nm antara julat putaran enjin 2,750-5,950 rpm, serta peningkatan boost dari 24.7 psi kepada 30.5 psi.

Kuasa itu tadi dipadankan dengan transmisi M Steptronic lapan nisbah kelajuan yang telah ditala untuk prestasi serta menawarkan fungsi penukaran gear secara manual menerusi kehadiran paddle shifter gentian karbon di sebalik stereng.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.6 saat sementara kelajuan tertinggi pula adalah 307 km/j.
 

M4


Selain daripada peningkatan kuasa, BMW turut mementingkan aspek pengurangan berat badan di mana sebanyak 108.8 kg telah berjaya dikurangkan, menjadikan berat keseluruhan hanyalah sekitar 1,605 kg, selari dengan nama CSL (Competition, Sport, Lightweight).

Program diet BMW M4 CSL merangkumi pembuangan tempat duduk belakang, penebat bunyi yang lebih ringan, komponen plastik bertetulang gentian karbon (CFRP), brek seramik, hud dan trunk CFRP, bumbung double-bubble CFRP dan pemasangan peredam ekzos titanium.
 

m4


Untuk ruang kabin, terdapat dua tempat duduk jenis bucket M Carbon balutan kulit hitam Merino dan Alcantara merah yang dihasilkan untuk pemanduan di dalam litar, dan ia tiada sebarang sokongan terhadap tulang belakang, larasan kuasa dan juga ciri pemanas.

Rekaan bumbung jenis double-bubble itu dikatakan mampu mengurangkan lagi berat keseluruhan kereta dan merendahkan titik tengah graviti jentera ini, menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik.

Aspek gantungan M4 CSL ini menggunakan suspensi spesifik yang merendahkan ketinggian sebanyak 7.62 mm berbanding M4 Competition, serta komponen yang direka khusus seperti bar anti-oleng, tetapan camber roda dan juga peredam hentakan.
 

M4


Kuasa pemberhentian BMW M4 CSL ini terdiri daripada angkup enam omboh dan rotor bersaiz 399 mm di depan, serta angkup omboh tunggal dengan rotor jenis terapung bersaiz 267 mm di bahagian belakang.

Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim aloi ringan M 21 inci (22 inci untuk belakang) yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R.

Harga untuk sebuah BMW M4 CSL 2023 bermula dari $140,895 (RM618,388).