BMW M340i xDrive - jentera M Performance CKD pertama! (dari RM402 ribu)

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada model BMW 330e M Sport yang dilancarkan baru-baru ini, BMW Malaysia memperkemaskan lagi penawaran sedan 3-Series dengan membawakan model M Performance pertama yang dipasang secara CKD, iaitu BMW M340i xDrive.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebagai sebuah sedan yang lebih bertenaga, enjin yang digunakan adalah nadi enam silinder sebaris yang berupaya menghasilkan 387 kuasa kuda dan 500 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda xDrive.

Dengan sistem transmisi Steptronic Sport lapan nisbah kelajuan, BMW M340i xDrive ini mampu memecut sepantas 4.4 saat dari 0-100 km/j dan mempunyai bacaan penggunaan bahan api serendah 7.7 liter untuk setiap 100 km.

 


Aspek pengendalian jentera ini dimulakan dengan penggunaan suspensi Adaptive M yang ditala khas dan boleh dikonfigurasikan secara elektrik untuk disesuaikan dengan keadaan jalan dan pemanduan.

Ia dibantu dengan sistem brek M Sport terdiri daripada angkup empat omboh di hadapan, dan angkup omboh tunggal jenis terapung di bahagian belakang dalam warna biru dengan designasi M, serta cakera brek yang lebih besar.

 


Sistem pacuan semua roda xDrive ini mempunyai kecenderungan untuk menyalurkan kuasa kepada gandar belakang, dibantu dengan differential M Sport, manakala sistem stereng berkuasa pula telah ditala semula untuk memberikan respon yang lebih terus.

BMW M340i xDrive dilengkapi dengan pakej luaran M Aerodynamics, BMW Laser Light, trim BMW Individual High-gloss Shadowline, kemasan cerium grey metalik, rim aloi M Light 19 inci stail 792 M Bicolour, sistem ekzos dengan tip berkembar trapezoid kiri dan kanan, serta spoiler belakang M.

 


Ruang kokpit BMW M340i xDrive ini diperkemaskan dengan elemen spesifik M seperti tempat duduk sporti balutan kulit Vernasca, roda stereng kulit M, kemasan ambang pintu beriluminasi, headliner Anthracite dari BMW Individual, serta peralatan M-spesific seperti pedal, dan alas lantai.

Kemasan Aluminium Tetragon turut hadir pada jentera ini, dan diikuti oleh sistem lampu ambien 11 warna, bumbung kaca suria, serta sistem pendingin hawa tiga zon automatik.

Sama seperti model yang lain, BMW M340i xDrive menampilkan BMW Live Cockpit Professional terdiri daripada skrin kluster digital 12.3 inci, skrin paparan infotainmen 10.25 inci, dengan tambahan ciri seperti paparan head-up, dan sistem audio Harman Kardon Surround Sound System 16 pembesar suara.

 


Aspek keselamatan merangkumi ciri seperti Amaran Penukaran Laluan, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Pelanggaran Belakang, Amaran Keluar Laluan, Amaran Pelanggaran Hadapan, Bantuan Had Laju, serta Parking Assistant yang didatangkan sebagai ciri standard.

Empat warna pilihan ditawarkan pada sedan M340i xDrive ini termasuklah Alpine White, Black Sapphire, Sunset Orange, dan Portimao Blue manakala pilihan warna dalaman pula adalah upholsteri kulit Vernasca hitam atau Cognac, dengan jahitan hiasan hitam.

 


Harga jualan untuk BMW M340i xDrive ini bermula dari RM402,354.13 (atas jalan tanpa insurans) atau serendah RM4,468.00 menggunakan Balloon Financing Plan dari BMW Group Financial Services Malaysia.

Setiap pembelian akan disertakan dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun lengkap dengan program servis berjadual percuma, bantuan tepi jalan, talian hangat kemalangan, BMW Group Loyalty+ Mobile App, BMW Privileges Card dan BMW Service Online.

Berita Berkenaan

Kereta
    Walaupun telah setahun ia menyusuri jalan raya di Malaysia, tetapi bagi Careta, ini adalah…