BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre – 50 Tahun 3 Series Dirai dengan 50 Unit Sahaja - dari RM397K

oleh Firdaus Razani|
BMW Group Malaysia baru-baru ini secara rasmi melancarkan BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre, sebuah model edisi terhad yang diperkenalkan bagi meraikan ulang tahun ke-50 barisan model BMW 3 Series – salah satu ikon utama dalam sejarah jenama ini.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Sejak diperkenalkan pada tahun 1975, BMW 3 Series telah memainkan peranan penting dalam membentuk identiti global BMW, dan turut menjadi sebahagian daripada landskap automotif Malaysia sejak era 1970-an.

 

bmw

 

Bagi memperingati legasi yang telah terbina selama lima dekad ini, BMW Malaysia menawarkan BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre dalam bilangan terhad 50 unit sahaja, eksklusif untuk pasaran tempatan.

BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre menampilkan elemen rekaan khas termasuk spoiler belakang M, skirt sisi M Performance, dan ukiran khas pada tiang-B yang menandakan status pengeluaran terhad model ini.

 

bmw

 

BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre dikuasakan oleh enjin 3.0 liter B58 enam silinder sebaris dengan pengecas turbo, menghasilkan kuasa output 387hp dan 500 Nm tork.

Model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.4 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j, sekaligus menjadikannya antara sedan prestasi tinggi paling berkuasa dalam segmennya.

 

bmw

 

Di bahagian dalam, model ini hadir dengan upholsteri Sensatec perforated, panel instrumen mewah, dan butang galvanik, memberikan sentuhan premium yang lebih menyerlah.

Ciri eksklusif tambahan termasuk tempat rehat tangan tengah M Performance yang dibalut Alcantara, serta paddle gear M Performance daripada serat karbon, yang bukan sahaja mempertingkatkan kualiti estetik, malah menambah dimensi baharu kepada pengalaman pemanduan.

 

bmw

 

Sistem pacuan semua roda xDrive turut melengkapkan pakej pemanduan yang mantap, disokong oleh sistem Kawalan Pemanduan Aktif dengan fungsi Berhenti dan Jalan (Stop & Go), serta Parking Assistant Plus untuk kemudahan parkir secara automatik.

BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre juga dilengkapi sistem paparan BMW Curved Display – gabungan paparan instrumen digital 12.3 inci dan skrin infotainmen 14.9 inci yang dijana oleh BMW Operating System 8.5.

 

bmw

 

Untuk hiburan, sistem audio premium Harman Kardon dengan 16 pembesar suara dan output 464W disertakan sebagai ciri standard.

Pelanggan boleh memilih BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre dalam empat pilihan warna luaran seperti Alpine White, Arctic Race Blue, M Brooklyn Grey dan Black Sapphire.

 

bmw

 

Manankala untuk bahagian dalaman, upholsteri Sensatec ditawarkan dalam dua warna; Hitam dan Tacora Red.

Model edisi khas ini hanya ditawarkan melalui platform atas talian rasmi BMW Malaysia di shop.bmw.com.my

Proses tempahan melibatkan lima langkah mudah termasuk pemilihan warna dan pengedar, serta pembayaran deposit tempahan sebanyak RM3,400.

Setelah disahkan, pelanggan boleh melengkapkan proses pemilikan di pusat pengedar pilihan.

 

bmw