BMW M3, M4 2021 rasmi dilancarkan dengan rupa agresif, dan transmisi manual!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa kali gambar teaser disiarkan, BMW akhirnya melancarkan duo sedan dan coupe berprestasi tinggi BMW M3 2021, dan BMW M4 2021 yang kini memasuki generasi keenam.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

Perubahan yang ketara dilakukan oleh BMW M adalah kehadiran rupa hadapan sedan dan coupe yang lebih agresif, disumbangkan oleh pemakaian gril buah pinggang yang lebih besar dan rekaan menegak.

Selain daripada itu, rekaan lampu utama juga kini lebih tajam diikuti dengan lampu nyalaan siang LED bersegi, serta rekaan bumper yang kini didatangkan dengan bukaan liang udara.

 


Disebalik rupa paras yang agresif itu, kedua-dua BMW M3 dan M4 generasi baharu ini didatangkan dengan nadi enjin enam silinder sebaris 3.0 liter dibantu dengan unit pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 473 kuasa kuda dan 550 Nm daya kilas.

Manakala dalam varian Competition, enjin yang sama itu didatangkan dengan output yang lebih berkuasa, iaitu 503 kuasa kuda dan 650 Nm.

Kuasa tersebut kemudian disalurkan kepada roda belakang sahaja buat masa sekarang, ini kerana BMW menyebut versi pacuan semua roda xDrive hanya akan ditawarkan bermula tahun hadapan.

Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam masa 3.8 saat manakala varian M standard sedikit perlahan - 4.1 saat.

 


Kedua-dua versi M standard dan M Competition mempunyai kelajuan tertinggi 250 km/j atau 290 km/j apabila pakej opsyen M Driver dipilih.

Lebih mendatangkan kegembiraan kepada para peminat BMW M, BMW M3 dan M4 datang dengan transmisi manual secara standard, manakala versi Competition hanya eksklusif dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan serta mendapat ciri tambahan seperti fungsi rev-match dan mod manual yang boleh dikawal menerusi paddle shifter di belakang stereng.

Namun, ciri terbesar yang dibawakan adalah ciri pacuan semua roda xDrive yang disebutkan tadi, menampilkan sistem M xDrive yang lebih bias kepada roda belakang dan differential belakang Active M, di mana ia hanya eksklusif untuk varian Competition sahaja.

 


Sistem xDrive itu tadi mempunyai tiga mod yang turut merangkumi mod lalai 4WD, sementara 4WD SPort pula menyalurkan lebih daya kilas kepada roda belakang ketika pemanduan dinamik.

Manakala mod 2WD pula lebih dikhususkan untuk mereka yang mahu menikmati pemanduan tulen pacuan roda belakang tanpa sebarang gangguan elektronik, di mana sistem kawalan kestabilan kenderaan boleh dimatikan mengikut keperluan.

Dari segi pengendalian, kedua-dua M3 dan M4 hadir dengan suspensi Adaptive M, di mana suspensi hadapan MacPherson kini menampilkan komponen wishbone aluminium dan torque aluminium, forged swivel bearing, dan bearing roda yang lebih ringan, manakala suspensi five-link belakang direka semula supaya memberikan pengendalian yang lebih jitu.

Jarak trek roda hadapan juga turut bertambah sebanyak 38 mm untuk meningkatkan kadar cengkaman dan kestabilan.

 


Kedua-dua model juga turut didatangkan dengan sokongan pendakap seperti shock tower brace, vertical brace, crossbar brace, serta pendakap yang menghubungkan subrangka belakang dengan ruang kargo.

Aspek pengendalian juga turut ditambah baik dengan sistem stereng M Servotronic, serta pakej opsyen M Drive Professional dengan M Traction Control, di mana ciri terakhir itu tadi membenarkan pemandu untuk memilih daripada 10 tetapan berbeza bagi mencari keseimbangan prestasi yang ideal.

Sistem brek pula adalah jenis brake-by-wire yang menampilkan angkup enam omboh dan cakera 380 mm di hadapan, sementara brek belakang pula terdiri daripada angkup omboh tunggal dan cakera sebesar 370 mm.

Pelanggan juga boleh memilih mendapatkan sistem brek seramik karbon dengan angkup berwarna emas, serta rotor brek bersaiz 400 mm hadapan dan 380 mm di belakang.

 


Untuk model M3 dan M4 standard, saiz rim yang disediakan adlaah bersaiz 18 inci di hadapan dan 19 inci di bahagian belakang, sementara varian Competition pula datang dengan rim yang lebih besar, 19 inci hadapan dan 20 inci belakang.

Secara asasnya, kesemua varian lengkap dengan ciri seperti lampu utama LED, bumbung diperbuat daripada bahan CFRP, dan lampu belakang tinted, sementara pakej opsyen M Carbon pula menambah komponen yang diperbuat daripada bahan CFRP seperti spoiler belakang, diffuser dan pelindung cermin sisi.

 


Memasuki ruang kabin, reka letak papan pemuka tidak banyak berubah, namun didatangkan dengan trim Aluminium tetragon (atau gentian karbon), roda stereng adalah jenis yang lebih sporti, serta penampilan butang pandu mula berwarna merah, dan paddle shifter untuk varian Competition.

Tempat duduk pula adalah jenis sport seat dengan balutan kulit Merino serta didatangkan dengan ciri ventilasi udara buat pertama kalinya.

Ia boleh ditukar kepada pakej tempat duduk bucket M Carbon yang lebih ringan 9.5 kg dan menampilkan bolster yang agresif serta lambang model beriluminasi.

Sistem infotainmen pula adalah bersaiz 10.25 inci, diikuti dengan skrin kluster instrumen digital 12.3 inci, serta dilengkapi dengan sokongan Apple Car Play dan Adroid Auto nirwayar, BMW Maps, dan ciri spesifik M seperti M Drift Analyzer dan M Laptimer.

 


Harga jualan BMW M3 Sedan dan BMW M4 Coupe di Amerika Syarikat adalah seperti berikut:

BMW M3 Sedan 2021 - $69,000 (RM287,178)
BMW M4 Coupe 2021 - $71,800 (RM298,832)
BMW M3 Sedan Competition 2021 - $72,800 (RM302,994)
BMW M4 Coupe Competition 2021 - $74,700 (RM310,901)

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kini, ia dijelmakan semula dan direalisasikan sebagai sebuah model yang paling eksklusif pernah…
Berita Global
Syarikat penala Vorsteiner nampaknya telah berjaya memikirkan satu penyelesaian bagi masalah rupa…
Berita Global
Bagi mereka yang masih lagi tidak berpuas hati dengan rekaan gril buah pinggang menegak sebesar…