Jika sebelum ini mereka memperlihatkan projek Integrale 400, kali ini Manhart mendedahkan pula projek restomod yang dinamakan sebagai MH3 3.5 Turbo - atau lebih tepat lagi sebuah BMW M3 E30 dengan nadi yang lebih berkuasa.
Baca: Manhart Integrale 400
Nadi asal empat silinder sebaris telah digantikan dengan enjin enam silinder sebaris 3.5 liter turbo yang diperoleh daripada model Alpina B7 S Turbo.
Modifikasi terhadap enjin tersebut tidak diperincikan, namun ia mampu menjana kuasa setinggi 405 hp dan 649 Nm yang disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual lima kelajuan.
Segala sisa pembakaran dibebaskan ke atmosfera menerusi sistem ekzos Manhart.
Disebabkan peningkatan kuasa yang disebutkan itu tadi, sistem brek sedia ada telah dinaiktaraf kepada unit Brembo, terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor bersaiz 13 inci yang dilindungi rim enam jejari berkembar 19 inci.
Manhart turut memasang sistem gantungan jenis gegelung H&R bagi menjadikan kereta ini lebih rapat ke tanah berbanding model standard.
Kemasan luaran membawakan balutan wrap hijau kusam, diikuti dengan lampu belakang yang sengaja diberikan efek asap, spoiler belakang yang diubah, serta pemasangan splitter hadapan.
Sementara ruang kabin pula diberikan kemasan kulit berwarna merah, konsol dan papan pemuka berwarna hitam, diikuti tombol gear manual kayu dan paparan data digital yang klasik.
Seperti biasa, Manhart tidak mendedahkan kos ubahsuai MH3 3.5 Turbo ini. Apa yang pasti, jumlah yang perlu dilaburkan itu bukanlah semurah yang anda sangka.