Jörg Weidinger, jurutera BMW M
Rekod BMW ini dicatatkan oleh Jörg Weidinger pada bulan April 2025.
Beliau merupakan jurutera pembangunan BMW M dan pemandu yang berpengalaman termasuk pemegang rekod.
Jörg Weidinger berjaya memecahkan halangan 7 minit 30 saat buat kali pertama dengan sebuah kereta touring.
Rekod terpantas sebelumnya untuk kereta touring adalah milik BMW M3 Touring pada tahun 2022, dengan catatan 7 minit 35.060 saat.
Kategori kenderaan bersaiz sederhana kini didominasi oleh model-model terkini daripada keluarga BMW M3 dan M4.
BMW M4 CSL memegang rekod terpantas dengan masa 7 minit 18.137 saat, diikuti oleh BMW M4 CS pada 7 minit 21.989 saat dan BMW M3 CS pada 7 minit 28.760 saat.
Masa baharu BMW M3 CS Touring hanya lebih sedikit dari satu saat di belakang rekod tersebut dan memperlihatkan prestasi luar biasa model ini.
BMW M di Nürburgring
Pusat Ujian BMW M adalah tunjang utama dan nadi bagi kejayaan BMW M di Nürburgring.
Dengan infrastruktur profesional dan lokasi yang strategik, ia menjadi titik permulaan untuk pembangunan projek kenderaan baharu dan ujian di bawah keadaan yang mencabar.
Kerjasama antara BMW M dan Nürburgring telah terjalin lebih dari 25 tahun.
Melalui program BMW M Driving Experience, peminat dapat memandu kenderaan BMW M sendiri di bawah bimbingan profesional di Green Hell.
Bilik Pameran BMW M Power yang direka bentuk semula pada tahun 2021 menekankan kepentingan Nürburgring sebagai rumah kepada BMW M.
Nürburgring memainkan peranan penting bagi BMW M bukan sahaja dalam pembangunan dan ujian, tetapi juga dalam sukan permotoran.
Kenderaan BMW M telah mencapai pelbagai kejayaan, termasuk 21 kemenangan keseluruhan dalam perlumbaan 24 jam.
Tahun ini, pasukan ROWE Racing meraih kemenangan terbaharu dalam perlumbaan 24 Jam Nürburgring.
Selepas permulaan hujung minggu yang mencabar, pasukan itu berlumba dari kedudukan ke-17.
Kelvin van der Linde, Augusto Farfus, Jesse Krohn dan Raffaele Marciello berjaya melakukan kemunculan semula untuk meraih kemenangan bagi BMW M Motorsport.
BMW M3 CS Touring
BMW M3 CS Touring menggabungkan prestasi yang belum pernah ada sebelumnya dengan kebolehgunaan harian yang maksimum.
Enjin enam silinder sebaris yang menghamburkan 550 kuasa kuda (hp) memacu wagon ini dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam hanya 3.5 saat dengan kelajuan tertinggi 300 km/j.
BMW M3 CS Touring didatangkan dengan cagak enjin yang direka khas dan sistem ekzos spesifik M yang memberikan bunyi pemanduan penuh emosi.
Kuasa dihantar melalui transmisi M Steptronic lapan kelajuan termasuk Drivelogic dan sistem pacuan semua roda M xDrive.
Teknologi casis ditala dengan tepat, dengan tetapan untuk kawalan kestabilan DSC dan Mod Dinamik M dioptimumkan untuk penggunaan trek berprestasi tinggi.
Sistem brek M Compound standard menjamin nyahpecutan yang kuat, manakala sistem brek karbon-seramik M pilihan juga tersedia.
Di sebalik prestasi hebat, pemandu dan ahli keluarga boleh memanfaatkan ruang simpanan 500 liter hingga 1,510 liter.
Selain muatan harian seperti ayam dan sayuran, ruang tersebut boleh digunakan untuk memunggah tayar untuk hari litar.
Penulis: Muhammad Md Tajudin