BMW M3 CS Touring 2025, bawa pulang barang runcit dengan pantas!

oleh Muhammad Md Tajudin|
BMW M3 CS Touring 2025
BMW M3 CS Touring 2025
Menarik mengenai model premium dari Jerman adalah pasangan sedan dan wagon. 

Pada Januari 2023 BMW M GmbH memperkenalkan M3 CS dan kini giliran M3 CS Touring. 

Bukan sekadar pasangan, ini adalah M3 CS Touring yang pertama dan anda perlu pantas kerana dikeluarkan dalam jumlah terhad.

Enjin enam silinder 550 kuasa kuda (hp) dan 650Nm juga akan membawa anda dan barangan runcit dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dengan pantas iaitu 3.5 saat.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025
BMW M3 CS Touring 2025

 

Pulang ke rumah dengan ikan, sayur dan telur juga lebih cepat dengan kelajuan mencecah 300 km/j.

Dibangunkan untuk beraksi hebat di litar, enjin 3.0 liter M TwinPower Turbo menggunakan binaan khas seperti kotak engkol tegar, aci engkol tempa ringan dan beberapa lagi.

Tumpuan turut diberi pada pengurangan berat. Sistem penyejukan dan pembekalan minyak juga direka supaya tahan lasak semasa pemanduan berprestasi di litar.

Kereta litar menyamar kereta keluarga nampaknya. Teknologi M TwinTurbo dipertingkat untuk penghantaran kuasa linear dan tekanan maksimum dinaikkan kepada 2.1 bar.

 

BMW M3 CS Touring 2025

 

Model ini turut menggunakan sistem pengurusan enjin berbeza untuk mendapatkan tambahan 20 hp berbanding  M3 Competition Touring dengan M xDrive.

Daya kilas puncak 650Nm boleh didapati dari serendah 2,750 rpm sehingga 5,950 rpm. Enjin menghasilkan kuasa maksimum pada 6,250 rpm sebelum mencecah 7,200 rpm.

Turut berbeza pada cagak enjin yang direka khas dengan kadar spring ditingkatkan dan sambungan tegar di antara unit kuasa dan struktur kereta.

Hasilnya pada tindak balas enjin lebih tajam dan hantaran kuasa lebih langsung.

 

BMW M3 CS Touring 2025

 

Sistem ekzos M mempunyai kelepak kawalan elektrik, penyenyap belakang titanium dan dua muncung ekzos warna hitam kusam.

Irama enjin berbeza mengikut mod pilihan si ayah atau ibu di dalam menu M Setup dengan SPORT atau SPORT+ lebih garau terutama sekali semasa tukaran gear.

Kotak gear M Steptronic lapan kelajuan dengan teknologi Drivelogic mempunyai tiga tetapan.

Ayah atau ibu boleh memilihnya melalui butang Drivelogic pada tombol gear. Selain tetapan selesa dan sporti, pemandu boleh memilih tetapan khas untuk litar.

 

BMW M3 CS Touring 2025

 

Kuasa dihantar ke jalan raya melalui pacuan semua roda M xDrive.

Beriringan dengan Active M Differential pada gandar belakang dengan operasi berubah-ubah, sistem pacuan yang cenderung ke roda belakang meningkatkan lagi dinamika pengendalian.

BMW M turut menyediakan resepi untuk menguli donat atau berdansa dengan mod 2WD. Semua kuasa dihantar ke roda belakang dan Kawalan Penstabilan Dinamik (DSC) dipadamkan.

Penalaan casis juga berbeza termasuk penyerap hentak M, stereng M Servotronic dan sistem pembrekan bersepadu. Pendakap topang M berfungsi meningkatkan ketegaran badan.

 

BMW M3 CS Touring 2025

 

Tetapan untuk DSC dan M Dynamic Mode dioptimumkan khusus bagi pemanduan di litar.

Brek M Compound memberikan kuasa hentian cemerlang semasa mengambil anak dari pusat tuisyen dan angkup dalam pilihan hitam atau merah.

Pelanggan yang memilih brek seramik M Carbon pula diberi pilihan merah atau emas kusam.

Rim aloi M berwarna Matt Gold Bronze atau hitam kusam dan dipadan bersama tayar litar 275/35 ZR19 di depan dan 285/30 ZR20 di belakang.

 

BMW M3 CS Touring 2025

 

Pelanggan juga boleh memesan tayar ultra litar. Kereta keluarga kenapa perlu guna tayar litar? Tidak mengapa, pelanggan boleh memilih tayar sport tanpa bayaran tambahan.

Dari segi rekaan, wagon ini sarat dengan plastik diperkukuh gentian karbon (CFRP) bagi mengurangkan berat.

Tukup, pemisah depan, ambilan udara depan, perumah cermin sisi dan peresap belakang semuanya dari CFRP.

Kerusi bucket M Carbon dan beberapa lagi turut menyumbang kepada pengurangan berat. Hampir 15 kilogram dapat dijimatkan berbanding  M3 Competition Touring M xDrive.

 

BMW M3 CS Touring 2025

 

Hiburan untuk keluarga dipaparkan melalui skrin 14.9 inci dan bersambung dengan skrin untuk pemandu.

Di sebalik hiburan keluarga, dalaman kereta sarat dengan tetapan untuk enjin, casis, stereng, brek, M xDrive dan pelbagai lagi.

Bukan sahaja hiburan, terdapat maklumat untuk si ayah dan ibu bekerja iaitu M Drift Analyser dan M Laptimer.

Memandu ke kampung, ruang belakang mempunyai muatan 500 atau 1,510 liter untuk basikal, dapur buat berkhemah dan sebagainya.

 

BMW M3 CS Touring 2025

 

Wagon ini ditawarkan dalam tiga warna BMW Individual iaitu British Racing Green, Laguna Seca Blue atau Frozen Solid White dan tambahan kepada Black Sapphire metallic.

Bumbung dan spoiler berwarna hitam kilat dengan garisan merah dan khusus untuk M3 CS Touring.

Harganya berapa? Bermula daripada 120,600 pound (RM667,095) dan dikeluarkan dalam jumlah terhad bersama BMW M3 Saloon dan BMW M3 Touring di Munich, Jerman.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

BMW M3 CS Touring 2025