BMW M2 xDrive 2027 Dilancarkan, AWD, 3.0 Twin Turbo 473HP, Harga RM 312 Ribu

oleh Qalif Latif|
BMW memperkenalkan BMW M2 xDrive 2027, varian baharu yang menjadi sejarah penting buat model tersebut apabila buat pertama kali dilengkapi sistem pacuan semua roda (AWD) M xDrive.

Sejak diperkenalkan lebih sedekad lalu, BMW M2 sentiasa ditawarkan dalam konfigurasi pacuan belakang (RWD). Namun bagi model tahun 2027, BMW membuka pilihan baharu kepada pelanggan yang mahukan prestasi lebih pantas dan cengkaman lebih tinggi.

BMW M2 xDrive 2027

Enjin 3.0 Liter Twin-Turbo, 473 HP

BMW M2 xDrive masih menggunakan enjin 3.0 liter enam silinder sebaris twin-turbo yang menghasilkan kuasa 473 hp dan tork 600 Nm.

BMW M2 xDrive 2027

Berbeza dengan M2 pacuan roda belakang yang masih menawarkan transmisi manual enam kelajuan, M2 xDrive hanya dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic.

0-100 KM/J Dalam 3.6 Saat

Dengan tambahan sistem pacuan semua roda, M2 xDrive mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding M2 pacuan roda belakang yang mencatatkan masa 3.9 saat.

BMW turut menyatakan model ini mampu mencapai kelajuan 200 km/j dalam tempoh 12.8 saat.

BMW M2 xDrive 2027

Kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j secara elektronik, namun angka tersebut boleh ditingkatkan kepada 285 km/j jika pelanggan memilih pakej M Driver's Package.

BMW M2 xDrive 2027

Masih Kekalkan Karakter BMW M

Walaupun menggunakan sistem AWD, BMW menegaskan M2 xDrive masih mengekalkan karakter pemanduan tradisional BMW M.

Dalam pemanduan biasa, kuasa dihantar sepenuhnya ke roda belakang. Sistem pacuan semua roda hanya akan mengagihkan kuasa ke gandar hadapan apabila roda belakang memerlukan bantuan tambahan untuk mengekalkan cengkaman.

BMW M2 xDrive 2027

Model ini turut dilengkapi Active M Differential bersama sistem kawalan cengkaman khas BMW M yang boleh dilaraskan mengikut kehendak pemandu.

Melalui menu M Setup, pemandu boleh memilih beberapa mod pemanduan termasuk mod 2WD yang mematikan sistem Dynamic Stability Control (DSC) bagi memberikan pengalaman pemanduan yang sebenar.

BMW M2 xDrive 2027

Roda 19 Dan 20 Inci, Brek M Compound Standard

BMW M2 xDrive menggunakan rim aloi M bersaiz 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang.

BMW M2 xDrive 2027

Bagi mereka yang gemar membawa kereta ke litar, BMW turut menawarkan tayar trek sebagai pilihan tambahan.

Sistem brek M Compound dipasang sebagai kelengkapan standard, menggunakan angkup brek enam omboh di hadapan dan angkup satu omboh di belakang.

BMW M2 xDrive 2027

Harga Bermula RM319,000

Di Amerika Syarikat, BMW M2 xDrive 2027 dijual pada harga bermula AS$74,950 (RM319,000), termasuk caj penghantaran.

Sebagai perbandingan, BMW M2 2026 pacuan roda belakang dengan transmisi manual dijual pada harga AS$70,350 (RM300,000).

BMW M2 xDrive 2027

M2 Terlaris Dalam Keluarga BMW M

Menurut BMW, M2 merupakan model prestasi BMW M paling laris di seluruh dunia tahun lalu.

Pengenalan sistem M xDrive dijangka mampu menarik lebih ramai pelanggan yang mahukan gabungan prestasi tinggi, cengkaman lebih baik dan penggunaan harian yang lebih praktikal tanpa mengorbankan karakter pemanduan BMW M yang menjadi identiti model tersebut.

BMW M2 xDrive 2027