BMW M2 2025, kuasa bertambah, model automatik lebih kuat!

oleh Muhammad Md Tajudin|
BMW M2 2025
BMW M2 2025
Lampu bulat berkembar di depan, badan sisi kembang dan reka bentuk bergaris BMW M3 E30 kekal mempesona sehingga hari ini.

BMW M2 generasi kedua yang dikeluarkan sejak 2023 pula ibarat jelmaan semula model ikonik itu walaupun berbeza kelas.

Masih baharu di pasaran tidak menghalang BMW untuk mempertingkatkan M2 dengan kuasa lebih tinggi, perkakasan dalaman dan sistem operasi baharu.

Enjin 3.0 liter M TwinPower Turbo dengan kotak gear M Steptronic lapan kelajuan menghasilkan 480 kuasa kuda (hp) pada 6,250 rpm dan ligatan sehingga 7,200 rpm.
BMW M2 2025

 

Angka itu 20 hp lebih tinggi termasuk M2 dengan kotak gear enam kelajuan manual yang didatangkan sebagai pilihan.

Bezanya ialah daya kilas M2 automatik yang merupakan kotak gear standard meningkat kepada 600Nm berbanding 550Nm pada M2 manual.

Julat ligatan daya kilas dari 2,650 sehingga 6,130 rpm. Bayangkan kuasa dan tarikan kereta ini yang menggunakan pacuan belakang.

Turut diberi perhatian ialah pemetaan pecutan dan tindak balas di dalam semua mod pemanduan. 

 

BMW M2 2025

 

Hasilnya M2 mempunyai tindak balas lebih pantas dalam menyahut permintaan pemandu. 

Enjin 3.0 liter enam silinder M2 tidak jauh berbeza daripada dua saudara lain, M3 dan M4.

Hamburan kuasa yang lebih tinggi turut diterjemah kepada potongan 0.1 saat semasa memecut dari 0 sehingga 100 km/j. 

M2 automatik hanya perlu 4.0 saat dan 4.2 saat bagi model manual.

 

BMW M2 2025

 

Prestasi 0 sehingga 200 km/j juga lebih baik dengan penjimatan 0.6 saat kepada 12.9 saat dan 13.7 saat untuk kotak gear dengan cekam di kaki.

Kelajuan dihadkan kepada 250 km/j dan boleh dinaikkan kepada 285 km/j melalui M Driver Package. Bunyi enjin dilaungkan sistem ekzos M dengan kepak kawalan elektronik.

Dari segi penampilan, BMW menawarkan warna baharu seperti Sao Paulo Yellow (solid), Fire Red (metalik), Portimao Blue (metalik) dan Skyscraper Grey (metalik).

BMW Individual pula dengan pilihan baharu Java Green, Voodoo Blue, Grigio Telesto dan Twilight Purple

 

BMW M2 2025

 

Rim standard M dalam saiz 19 inci di depan dan 20 inci di belakang. Pilihan baharu untuk pelanggan ialah rim M bilah berkembar warna perak.

Pada bahagian dalam, M2 2025 menggunakan stereng M baharu dengan gelung rata di bawah dan bilah baharu selain penanda pukul 12 wana merah.

BMW turut menawarkan stereng sama dengan balutan Alcantara. Kerusi M Sport balutan kulit Vernasca boleh dipesan dengan riasan dua warna merah dan hitam.

Kerusi bucket M Carbon yang lebih ringan juga bebas dipesan dan tidak hanya khusus untuk pakej M Race Track.

 

BMW M2 2025

 

Skrin panjang yang mengandungi paparan 12.3 inci dan 14.9 inci menggunakan sistem kawalan BMW iDrive dengan sistem BMW Operating System 8.5.

Kawalan suhu boleh dibuat secara digital termasuk beberapa lagi tetapan lain. Arahan suara melalui BMW Intelligent Personal Assistant.

Pendigitalan juga bermakna butang fizikal berkurangan dan M2 2025 menggunakan panel instrumen rekaan baharu. Kawalan corong penyaman udara juga diubah.

Kemasan untuk panel instrumen dan konsol tengah dibuat dalam warna Dark Graphite.

Pelanggan ditawarkan pilihan seperti Aluminium Rhombicle Anthracite, M Carbon Fibre atau Fine Brushed Aluminium (baharu).

 

BMW M2 2025

 

Butang Setup pada sisi tombol gear membolehkan pemandu membuat tetapan terus pada enjin, ampaian boleh suai M, stereng M Servotronic dan beberapa lagi.

Dari segi keselamatan, M2 dilengkapi amaran pelanggaran depan, Kawalan Pandu dengan fungsi brek dan Maklumat Had Kelajuan dengan penunjuk tidak boleh memotong.

Lagi sistem asas seperti Amaran Penukaran Lorong dan Kawalan Jarak Parkir dengan penderia di depan dan belakang. 

Tidak hanya menjual prestasi, BMW turut menawarkan bumbung suria.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

BMW M2 2025