Untuk permulaan, tidak lebih daripada 100 unit BMW iX5 Hydrogen yang akan dihasilkan, dan ia akan diperkenalkan di beberapa pasaran penting di seluruh dunia untuk tujuan demonstrasi dan ujian percubaan untuk beberapa kumpulan sasaran.

Untuk makluman, BMW iX5 Hydrogen ini mempunyai sistem sel bahan api yang dibekalkan oleh Toyota, sebelum digandingkan dengan trenkuasa eDrive yang merangkumi motor elektrik, transmisi dan bateri lithium-ion.
Secara keseluruhan, BMW iX5 Hydrogen ini mampu menjana kuasa setinggi 401 hp, dengan jarak gerak mampu mencecah 504 km.

Sistem tangki bahan api berkembar itu diperbuat daripada plastik bertetulang gentian karbon yang mampu menyimpan sehingga 6 kg bahan api hidrogen, dan pengisian penuh hanya memakan masa tiga hingga empat minit.
Prestasi pecutan 0-100 km/j adalah kurang dari enam saat, manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 180 km/j.
Setelah program perintis ini selesai, BMW menyasarkan produksi secara besar-besaran model iX5 Hydrogen ini seawal tahun 2025.

Menurut Oliver Zipse, Pengerusi Lembaga Pengurusan BMW AG berkata, "hidrogen merupakan sumber tenaga yang versatil, dan ia memainkan peranan penting dalam proses peralihan tenaga dan perlindungan iklim. Ia juga merupakan salah satu cara yang paling cekap untuk penyimpanan dan pengangkutan tenaga yang boleh diperbaharui.
"Hidrogen merupakan kepingan teka-teki jigsaw yang hilang di dalam mobiliti sifar emisi. Kita sepatutnya menggunakan potensi ini untuk mempercepatkan transformasi sektor mobiliti. Satu teknologi yang berdiri sendiri tidak akan cukup untuk membolehkan kita mencapai sasaran mobiliti neutral iklim di seluruh dunia," jelasnya lagi.