BMW iX3 - SUV elektrik pertama BMW, 282 hp/400 Nm, mampu capai jarak 520 km

oleh Mohamad Hanif|
Model SUV elektrik pertama dari BMW, iaitu model iX3 akhirnya diperlihatkan secara rasmi dan ia dibangunkan berdasarkan model SUV BMW X3 generasi terkini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ia menampilkan teknologi eDrive generasi kelima yang merangkumi pek bateri berkapasiti 80 kWh dan motor elektrik yang mampu menghasikan kuasa 282 hp dan daya kilas 400 Nm menerusi roda belakang.

Menurut BMW, model iX3 ini mampu mencapai jarak operasi sejauh 460 km dengan sekali caj penuh mengikut data kitaran NEDC.

 


Prestasi pecutan 0-100 km/j pula mengambil masa sekitar 6.8 saat dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 180 km/j secara elektronik.

Ketika pembangunan model BMW iX3, para jurutera telah mereka satu perumah khusus yang mampu memuatkan motor elektrik, komponen elektronik dan transmisi supaya lebih kompak dan mudah untuk digunakan pada jenis kenderaan yang berbeza.

Teknologi eDrive generasi kelima itu juga turut dikatakan lebih berkuasa 30 peratus berbanding teknologi eDrive sedia ada, selain menampilkan sistem penyejukan dan pemanasan yang berasingan bagi memastikan suhu komponen seperti pek bateri, motor elektrik, elektronik kuasa dan unit storan kekal optimum dan ideal.
 


BMW iX3 ini dilengkapi dengan keupayaan pengecasan pantas sehingga 150 kW, di mana masa pengecasan 0 sehingga 80 peratus kapasiti bateri adalah kira-kira 34 minit sahaja, manakala pengecasan 10 minit mampu menambah jarak 100 km terhadap jumlah jarak operasi SUV elektrik ini.

Reka bentuk luaran BMW iX3 banyak membawakan persamaan dengan BMW X3, namun dengan ciri spesifik seperti halangan pada gril buah pinggang untuk mengurangkan kadar rintangan angin, elemen biru serta set roda aerodinamik bersaiz 19 inci.

Dengan rim itu tadi, ia mampu mengurangkan kadar pekali seretan sebanyak 5 peratus kepada 0.29, selain menambah 10 km lagi kepada jumlah jarak operasi itu tadi.

 


Tidak banyak perbezaan pada ruang kabin diperlihatkan namun BMW iX3 hadir dengan elemen warna biru yang menghiasi bahagian tersebut, serta kehadiran logo BMW i serta paparan spesifik untuk disesuaikan dengan trenkuasa EV itu tadi.

Terdapat sehingga enam warna metalik yang boleh dipilih untuk bahagian luaran BMW iX3 termasuklah Carbon Black metallic, Sophisto Grey brilliant effect metallic, Mineral White metallic, Phytonic Blue metallic, Piedmont Red metallic, dan Cashmere Silver metallic.

 


BMW iX3 merupakan salah satu daripada tiga model baharu yang bakal diperkenalkan kelak, iaitu BMW i4 dan SUV BMW iNext yang dijadualkan pelancarannya pada penghujung tahun 2021.

Ia juga merupakan model pertama yang dihasilkan untuk pasaran eksport di kilang Shenyang, China dan bakal memasuki pasaran tersebut bermula penghujung tahun ini diikuti pasaran Eropah pada tahun hadapan.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
M Sport Package tersebut merangkumi kelengkapan seperti M Aerodynamics, M Roof rails dalam warna…
Berita Domestik
Sebagai makluman, BMW iX3 telah pun dilancarkan pada minggu lalu dengan harga jualan BMW iX3 M…
Pelancaran
Dari segi kuasa, BMW iX3 hadir dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang, dengan…