Lebih menarik perhatian, harga jualan BMW iX3 bermula dari SGD252,888 (RM783,493) termasuk COE, di mana ia jauh lebih murah berbanding BMW X3 petrol dan versi plug-in hybrid (PHEV).
Ini kerana, sebagai sebuah EV BMW iX3 dikategorikan sebagai kelompok A1 Vehicular Emission Schemes (VES) yang melayakkannya mendapat rebat yang lebih tinggi sebanyak SGD25,000 (RM77,455).
Sementara model BMW X3 pula dikategorikan dalam kelompok C1, dengan potongan rebat sekitar SGD15,000 (RM46,473) sahaja.
Disebabkan itu, BMW X3 memiliki tanda harga bermula dari SGD254,888 (RM789,690) untuk varian sDrive20i xLine, manakala varian termahal pula adalah PHEV xDrive30e xLine dengan harga sekitar SGD300,888 (RM932,206).
Antara ciri menarik yang ditawarkan pada BMW iX3 adalah rim aloi bersaiz 20 inci, unit lampu LED adaptif, sistem bunyi IconicSounds Electric, serta ciri keselamatan Driving Assistant Professional, Comfort Access, serta Parking Assistant Plus.
Sementara ruang kabin pula diserikan dengan bumbung kaca panoramik, upholsteri kulit Vernasca, tempat duduk pemandu berkuasa dengan fungsi memori, sistem pendingin hawa tiga zon, BMW Live Cockpit Professional dan sistem audio keliling Harman Kardon dengan 16 pembesar suara.
Dari segi kuasa, BMW iX3 didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang, dengan kuasa sekitar 282 hp dan 400 Nm yang membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat dan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 180 km/j sahaja.
Pek bateri berkapasiti 80 kWh yang dipasang pada lantai SUV ini mampu memberikan jarak operasi sejauh 459 km (data WLTP), dan menyokong pengecasan pantas DC 150 kW, dengan masa pengecasan sekitar 34 minit dari 0-80 peratus SoC.
Selain daripada itu, BMW iX3 juga turut menyokong pengecasan AC menerusi sambungan Type 2 sehingga 7.4 kW (AC fasa tunggal), atau 11 kW (tiga fasa) yang membolehkan bateri dicas penuh dalam masa tujuh jam setengah.
BMW turut menawarkan pakej BMW i Wallbox Plus dan pakej pemasangan asas untuk setiap pembelian, serta kad BMW i ChargeNow yang memberikan akses kepada jaringan pengecasan di seluruh Singapura.
Sehingga 1 Julai 2021, terdapat kira-kira 95 buah poin pengecasan umum dengan 125 pengecasan yang dipasang di kawasan kondominium.
Sumber: Paultan